KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz menyifatkan aksi separuh akhir pertama ACC Shopee Cup 2025/26 menentang Buriram United sebagai perlawanan paling penting buat skuad Harimau Selatan ketika ini.

Menurut pengendali dari Sepanyol itu, pertemuan menentang juara bertahan dari Thailand berkenaan ibarat aksi final memandangkan kedua-dua pasukan memiliki reputasi besar di rantau Asia Tenggara.  

Muñoz berkata fokus penuh kini terarah kepada usaha mendapatkan keputusan positif di Stadium Sultan Ibrahim sebelum aksi timbal balik minggu depan.

Beliau turut menegaskan semua pemain berada dalam keadaan bersedia bagi menghadapi cabaran getir bertemu Buriram yang dianggap antara pasukan terbaik di rantau ini.

JDT mara ke separuh akhir selepas menamatkan saingan Kumpulan B selaku naib juara dengan 11 mata dalam penampilan sulung mereka di kejohanan itu.  Dalam masa sama, Buriram hadir dengan reputasi selaku penyandang juara selain masih belum tewas dalam empat pertemuan terdahulu menentang JDT.  

Muñoz bagaimanapun percaya aksi di laman sendiri mampu memberikan kelebihan buat Harimau Selatan untuk membawa bekalan selesa ke Thailand.

Sementara itu, jurulatih Buriram United, Mark Jackson berkata pasukannya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi tekanan beraksi di Johor.

Katanya, pengalaman beraksi dalam perlawanan besar bakal membantu kelab Thailand itu mengharungi cabaran getir di gelanggang lawan.