KERAJAAN menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengukuhkan lagi komitmen terhadap pembangunan bola sepak wanita apabila memperuntukkan dana Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM840,000 bagi menjayakan penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025.

Suntikan dana itu menjadi bukti kepercayaan kerajaan terhadap potensi besar bola sepak wanita tanah air yang kian mendapat perhatian bukan sahaja daripada masyarakat umum, bahkan pihak penaja dan pelabur yang melihat ia sebagai ruang pertumbuhan baharu dalam landskap sukan negara.

Majlis pelancaran LWN 2025 dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh di Saloma Kuala Lumpur dan menyaksikan lapan pasukan bertanding musim ini, termasuk empat pasukan baharu seperti Young Tigress, KL Rangers FC, Kuala Lumpur FA dan MBSJ FC.

Bagi musim kali ini, FAM turut memperkenalkan peraturan baharu yang membenarkan setiap pasukan mendaftarkan dua pemain import sebagai langkah memperkasa kualiti liga serta memberikan pendedahan lebih luas kepada pemain tempatan.

LWN 2025 telah membuka tirainya pada 12 Julai lalu dengan aksi dramatik apabila Red Eagles SC berjaya mengikat juara bertahan Kelana United FC 1-1 — petanda awal bahawa saingan musim ini dijangka lebih rancak dan sengit.