SKUAD olahraga negara bakal mendapat bimbingan kejurulatihan baharu, namun hanya akan diumumkan selepas senarai jurulatih yang dikemukakan Olahraga Malaysia (MA), direstui Majlis Sukan Negara (MSN).
Pengurus Besar MA, Nurhayati Karim berkata, pihaknya telah menghantar senarai penuh calon jurulatih bagi semua disiplin termasuk pecut, lontaran, lompatan dan lain-lain, dan kini hanya menanti maklum balas rasmi daripada MSN.
“Segala maklumat berkaitan pelantikan jurulatih telah dihantar kepada MSN dan kita sedang menunggu keputusan akhir. Harapnya kita akan tahu dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media semalam.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memulihkan struktur kejurulatihan negara, khususnya selepas berlaku kekosongan ketara dalam disiplin pecut susulan penamatan kontrak jurulatih berpengalaman, Mohd Poad Md Kassim pada hujung tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Nurhayati turut mengumumkan, skuad pecut kebangsaan Jerman akan menjalani latihan pusat selama empat minggu di Malaysia sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Larian Berganti-ganti Dunia di Guangzhou, China pada 10 hingga 11 Mei ini.
Wakil sekretariat Olahraga Jerman, Joerg Teichmann berkata, delegasi 47 orang termasuk atlet, jurulatih, doktor dan pegawai fisiologi akan tiba di Malaysia Khamis ini.
Hubungan erat antara Kesatuan Olahraga Malaysia dan Olahraga Jerman, berjaya merealisasikan kehadiran atlet handalan dunia dari Jerman di Kuala Lumpur.
Antara bintang besar yang dijangka hadir ialah kuartet 4×100 meter wanita Jerman yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Paris tahun lalu — Rebekka Haase, Lisa Mayer dan Alexandra Burghardt.
Kehadiran skuad elit Jerman itu bukan sahaja mengukuhkan kerjasama antarabangsa dalam bidang olahraga, malah memberi peluang kepada atlet tempatan menimba pengalaman berharga sepanjang sesi latihan bersama nanti.