PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tidak ketinggalan meluahkan keterujaan menjelang perlawanan epik antara Manchester United dan ASEAN All-Stars yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
Menerusi hantaran di Instagram Story rasmi miliknya, Anwar telah memuat naik semula poster jelajah Asia United dan menulis kapsyen ringkas tetapi cukup bermakna.
“Semua negara ASEAN turun sebagai sebuah pasukan menentang Man United. #ASEAN2025 #GGMU”

Hantaran di Instagram Story rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang selasa.
Kenyataan itu bukan sahaja menunjukkan sokongan terhadap acara bola sepak berprestij tersebut, malah memperlihatkan semangat kesatuan serantau apabila seluruh Asia Tenggara bersatu dalam satu pasukan menentang gergasi Liga Perdana Inggeris itu.
Perlawanan ini bakal menjadi detik bersejarah apabila ASEAN All-Stars yang dibarisi pemain terbaik rantau ini turun sebagai satu entiti tunggal menentang kelab ikonik dunia, The Red Devils yang kembali ke Malaysia selepas 16 tahun.
Kali terakhir United turun ke Bukit Jalil adalah pada tahun 2009 ketika menentang Malaysia XI – satu perlawanan sengit yang menyaksikan Red Devils menang tipis 3-2. Kini, selepas 16 tahun, mereka kembali.
Para peminat sudah tentunya akan throwback jaringan ikonik bekas pemain selangor, amri yahya ketika menewaskan Van Der Sar pada perlawanan tersebut.
Tapi kali ini, cabarannya lebih besar buat United kerana satu pasukan gabungan bintang-bintang ASEAN bakal menanti mereka.
28 Mei nanti, Bukit Jalil akan jadi saksi kepada bukan sahaja pertarungan bola sepak, tetapi lambang penyatuan ASEAN menentang kuasa besar dunia bola sepak. Ayuh, jadilah sebahagian daripada sejarah.