ANUGERAH Bolasepak Kebangsaan (ABK24-25) terus membara dengan persaingan yang cukup sengit dalam kategori pemain tengah terbaik musim ini apabila tiga calon akhir diumumkan semalam oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Arif Aiman pemain sayap JDT
Antara yang menjadi tumpuan tentunya pemain sensasi Harimau Selatan, Arif Aiman, yang meskipun mengakui musim ini bukanlah kemuncaknya seperti musim lalu, tetap membuktikan beliau masih ‘raja dribble’ Liga Malaysia.
Dalam 19 penampilan liga, Arif menyumbang tujuh gol dan enam bantuan jaringan, selain melakukan 42 percubaan dengan 22 daripadanya tepat ke sasaran.
Satu kad kuning dan 20 kekasaran membuktikan dia juga agresif dalam bertahan, menambah dimensi pada permainannya. Lebih penting, dia memainkan peranan penting dalam kejayaan JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 dan menjuarai Piala FA.

Safawi Rasid (kanan) ketua Pasukan TFC.
Namun, cabarannya tidak mudah. Calon dari Terengganu FC, Safawi Rasid tampil sebagai watak pemimpin di tengah padang.
Dipinjamkan dari JDT demi mendapatkan minit permainan, Safawi bukan sekadar menjaringkan enam gol dalam 20 perlawanan liga, tetapi juga menjadi penggerak utama serangan skuad Penyu.
Dengan 48 percubaan dan 15 daripadanya on target, beliau membuktikan ketajamannya kekal berbisa. Lebih mengagumkan, peranannya sebagai kapten berjaya membawa Terengganu ke tangga kelima liga.

Stuart Wilkin jeneral utama bagi skuad Sabah FC.
Sementara itu, pemain tengah Sabah FC, Stuart Wilkin juga tidak boleh dipandang ringan.
Kehadirannya dalam kesebelasan utama musim ini nyata memberi impak besar buat skuad The Rhinos.
Dalam 19 aksi liga, Wilkin menjaringkan empat gol dan lima bantuan gol, selain 25 percubaan dengan 14 tepat ke arah gawang.
Tenaganya di bahagian tengah menjadi tulang belakang kepada kejayaan Sabah menduduki tempat ketiga liga.
Tiga calon, tiga gaya berbeza, namun hanya satu akan diangkat sebagai pemain tengah terbaik ABK24-25.
Adakah Arif Aiman akan kekal sebagai permata JDT, atau Safawi kembali bersinar bersama Terengganu? Atau mungkinkah Wilkin cipta kejutan sebagai pemain paling berpengaruh di tengah padang?
Segalanya akan terjawab malam kemuncak ABK24-25 nanti.