PEMERHATI sukan negara, Datuk Dr. Pekan Ramli menyatakan segalanya terpulang kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk mencorakkan kem bola sepak negara ke arah lebih mampan selepas mendapat peluang dan ruang menguji dua pasukan sepanjang minggu ini.
Menurut beliau, Harimau Malaya perlu terus mencipta keputusan positif demi mengembalikan kepercayaan penyokong yang sanggup membeli tiket demi menyaksikan pasukan kesayangan mereka.
“Timun dan pisau kini di tangan Pan-gon. Pandai-pandailah dia nak mencorakkan rupa Harimau Malaya kali ini. Nak jadikan ianya benar-benar ‘Harimau Belang’ yang disegani dan ditakuti lawan atau menjadi ‘Kucing Parsi’ yang mudah dijinakkan oleh sesiapa sahaja.
“Walaupun ini masih perjalanan menuju ke Piala Asia 2024, jangan kerap tercalar dan luka takut nanti menjadi kudis yang sukar untuk disembuhkan. Bawalah mimpi indah untuk penyokong saat terbuai dalam tidur yang lena, esok terjaga belum tentu lagi ianya satu kenyataan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Biarpun masih dalam tempoh ujikaji Pan-gon, namun Malaysia tidak boleh terus keciciran mata kerana harapan penyokong sangat membuak ketika ini untuk menyaksikan Harimau Malaya kembali mengaum seperti era 70-an dahulu.
Ditambah dengan skuad yang diumpamakan sebagai ‘Dream Team’, sudah pasti skuad bola sepak negara ingin membuktikan kemampuan mereka di peringkat Asia dengan mengalahkan pasukan-pasukan yang dianggap ‘gah’ dalam bola sepak dunia.
“Keputusan perlawanan ini nak kata tak penting pun tak boleh. Kita pun sasarkan untuk kenaikan mata ranking skuad kebangsaan. Kalau kalah ianya pasti menurunkan keghairahan penyokong dan boleh menghakis keyakinan mereka terutama skuad kali ini dianggap himpunan ‘barang mewah atau mahal’. Malah ia bagaikan ‘dream team’ walaupun masih dalam tempoh eksperimen oleh Kim Pan-gon,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut merasakan bahawa pemain naturalisasi perlu digunakan sepenuhnya supaya mereka dapat membuktikan kerakyatan mereka bukan hanya gah pada nama tetapi juga hebat pada kualiti individu masing-masing.

Namun, ia bukanlah ‘lesen’ kepada pemain tempatan untuk mempamerkan aksi longlai sebaliknya perlu terus bersaing menunjukkan bahawa mereka juga berupaya beraksi sehebat pemain naturalisasi yang ada.
“Memang wajar pemain naturalisasi perlu diuji sepenuhnya oleh Pan-gon. Beri mereka peluang secukupnya supaya tiada alasan nanti jika mereka gagal menyerlah. Mereka perlu lebih menonjol daripada pemain lokal kerana mereka bukan ‘kaleng-kaleng’ atau ‘bishe-bishe’ sahaja.
“Pemain lokal juga perlu kuat aspek mental dan fizikal untuk buktikan yang mereka juga lebih hebat daripada pemain naturalisasi. Jangan lemah semangat dan mudah rasa rendah diri. Jatidiri mesti kuat dan semangat patriotik sejati itu sudah sebati dalam diri mereka. Ambil situasi ini sebagai suatu cabaran yang positif. Kalau fikir negatif, negatiflah jadinya,” ujarnya.

Mengulas dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan pada 23 Mac dan Hong Kong pada 28 Mac, beliau enggan melihat ianya sebagai masalah kerana skuad kebangsaan kali ini dibarisi ramai pemain bukan beragama Islam.
Selain itu, pengurusan pasukan kebangsaan juga dilihat pastinya lebih arif dalam menyusun jadual latihan bagi pemain Islam yang terlibat supaya setiap pemain dapat memberikan aksi terbaik seandainya diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Aksi persahabatan di bulan Ramadan ini bukan masalah besar. Tidak timbul isu pemain tak fit. Cuma waktu latihan mungkin terpaksa disesuaikan dengan pemain yang berpuasa.
“Pengurusan pasukan kebangsaan juga sudah ada pengalaman dalam hal ini. Mereka tahu menyusun jadual yang sesuai untuk keperluan latihan dan perlawanan pada bulan Ramadan. Lagipun kali ini kita ramai pemain ‘non muslim’ dan secara keseluruhan ia bukan masalah besar untuk skuad kebangsaan,” tegasnya.