Oleh: MOHD FARIQ

RAMAI menyedari dan mengambil maklum betapa seriusnya Kim Pan-gon membuat penilaian dan analisis prestasi pemain sejak tiba di Malaysia Februari lalu.

Berbaju putih dan berseluar hitam, Pan-gon mudah dikenali dari jauh dan lazimnya ditemani kesemua penolongnya, termasuk Pau Marti, E. Elavarasan dan Dr Gokhan Kandemir.

Hujung minggu dihabiskan untuk meninjau prestasi pemain di seluruh negara, sama ada dalam Liga Super atau Liga Premier.

Bekas jurulatih Hong Kong itu tidak puas sekadar mengirim mesej menerusi aplikasi Whatsapp kepada rakan-rakan sejawatan di kelab, sebaliknya Pan Gon mahu melihat aksi pemain dengan mata kepalanya sendiri.

Foto kredit: Sri Pahang FC

Berehat pada Isnin, Pan Gon akan kembali bertugas di pejabat pada Selasa dengan mengerah semua penolongnya untuk membincangkan prestasi pemain yang dipantau.

Rutin ini turut diwarnai dengan ketekunan Pan-gon meneliti rakaman video aksi liga dan pasukan kebangsaan serta menganalisis taktikal lawan.

Dinding putih di pejabat mereka di Tingkat 2 di Wisma FAM dijadikan layar untuk menayangkan video-video ini.

Kedengaran di serambi FAM mengiyakan kata-kata kakitangan yang ternyata kagum dengan etika kerja dan budaya prestasi tinggi yang dipamerkan oleh Pan-gon dan rakan-rakannya.

Apabila penulis meninjau persekitaran hotel penginapan pasukan, sepanduk gegantung atau bunting kata-kata berunsur motivasi dan membakar semangat dipasang bagi menaikkan semangat pemain.

Aura Pan-gon tidak terbatas di atas padang. Acapkali persiapan di luar padang yang dilaksanakan oleh jurulatih menentukan kejayaan dengan menghasilkan marginal gains.

Dikenali sebagai seorang yang amat teliti, Pan-gon menyediakan laporannya dengan komprehensif untuk disampaikan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Tidak syak lagi Pan-gon bos pasukan. Serius tetapi mesra. Adalah jelas mentaliti Korea Selatan dalam mindanya diadun dengan kemesraan yang dipupuk lama di Hong Kong.

Selagi kelibatnya tidak kelihatan, tiada siapapun boleh menjamah makanan. Begitulah aura Pan-gon.

Namun gelagatnya di luar padang tidak dihirau oleh peminat.

Netizen khususnya hanya mahu keputusan.

Setakat ini, rentetan keputusan mengatasi Filipina 2-0, tewas kepada Singapura 2-1, menumpaskan Brunei 4-0 dan Hong Kong 2-0 memberi petanda positif.

Namun apabila seluruh negara dikejutkan dengan penyenaraian Guilherme de Paula sekalipun seminitpun tidak mengeluarkan peluh dalam liga tempatan, ramai mula mempertikaikan kewibawaan Pan Gon.

Inilah Pan-gon yang sama diberi kepercayaan melantik Paulo Bento sebagai ketua jurulatih Korea Selatan, Hwang Sun Hong (pasukan Bawah 23 tahun), Colin Bell (pasukan wanita) dan Kim Eun Joong (pasukan Bawah 20 tahun) dalam kapasitinya selaku pengerusi jawatankuasa teknikal pasukan kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA).

Esok, Farizal Marlias dan rakan-rakan akan bertemu Turkmenistan, negara yang berada pada ranking 134 FIFA serta mewarisi legasi Soviet Union.

Tewas tipis kepada Jepun pada pra-kelayakan Piala Dunia 2022 pada 2019 dan tewas 1-0 kepada Thailand dalam rangka persiapan minggu lalu, layak ke Piala Asia AFC pada edisi 2004 dan 2019.

Dengan kekuatan fizikal mereka, Turkmenistan tidak boleh dipandang enteng.

Diketuai pemain sayap kanan, Arslanmurad Amanov yang pernah beraksi di Liga Uzbekistan, Rakhman Muratberdyev serta Altymurad Annadurdyev – ketiga-tiganya beraksi ketika Turkmenistan menewaskan Lebanon 3-2 tahun lalu, negara bekas jajahan Soviet itu dijangka liat untuk diratah.

Tanpa segan silu, Pan Gon terus-terang meminta bantuan Ultras Malaya untuk melaungkan sokongan padu kepada anak buahnya.

Dia juga mahu penyokong menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan tanpa perlu mempersoalkan kenapa De Paula tidak digugurkan.

Marilah rakyat Malaysia, saksikan tiga perlawanan penting untuk Harimau Malaya.

Mereka memerlukan sokongan kita. Mereka tidak perlukan kata-kata nista saat ini.

Sama ada Dion Cools dan Shahrul Saad membentuk tiga atau empat serangkai benteng pertahanan, sama ada Akhyar Rashid dan Safawi Rasid menyusup di penjuru atau tengah, sama ada de Paula dan Mohammadou Sumareh diturunkan atau tidak, kita serahkan kepada Pan Gon.

Kini tiada lagi kata-kata sindiran dalam kalangan pemain corak latihan pasukan kebangsaan tidak cukup keras. Tidak cukup intensiti.

Dengan nasihat jurulatih kecergasan Dr Kandemir, Pan-gon mengamalkan corak latihan singkat tetapi berintensiti tinggi.

Pemain memberi kerjasama baik bahkan menghormati Pan-gon sebagai bos.

Mereka menyedari budaya prestasi tinggi yang diterapkan berbeza dengan kaedah jurulatih-jurulatih terdahulu, tidak kira sama ada Nelo Vingada mahupun Tan Cheng Hoe. Layanan yang diberi pun istimewa, menepati taraf mereka selaku wakil negara.

Dalam kalangan pemain senior, kehadiran De Paula tidak dipertikaikan selepas penyerang kelahiran Brazil itu bersikap positif, mesra dan tidak menimbulkan kemarahan pengurusan.

Skuad 23 pemain ini memiliki jiwa untuk menyarung jersi negara. Pan-gon menanam benih jiwa kemenangan dalam minda mereka.

Etika kerja Pan-gon bersama penolongnya adalah bukti kerja keras di sebalik tirai yang sayangnya belum menjamin kejayaan.

Namun tanda-tanda ke arah itu sudah terbit.

Sama-sama kita doakan.