KETUA Jurulatih Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh bagaikan tidak percaya apabila skuad bimbingannya berjaya bangkit pada tiga minit terakhir permainan untuk mengikat Melaka United 2-2.

Sri Pahang bangkit menerusi jaringan David Rowley pada minit ke-87 dan Shahrul Nizam Nadzir pada minit akhir perlawanan untuk mencuri satu mata dari Stadium Hang Jebat selepas ketinggalan 2-0 sehingga minit ke-87.

Jaringan kedua-dua pemain gantian itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah Sri Pahang kepada empat perlawanan berturut-turut selepas diambil alih oleh Dollah Salleh.

 

Dollah Salleh

“Kami pun tidak menjangka dua pemain gantian akan menjaringkan gol. Saya beritahu para pemain ketika mesyuarat pasukan bahawa pemain simpanan perlu sentiasa bersedia dan nampaknya malam ini mereka menyahut cabaran dan memberikan tonik tambahan buat kami.

“Malam ini aksi kami serba tidak menjadi sejak dari babak pertama hingga babak kedua. Para pemain kelihatan lesu namun mereka menunjukkan semangat untuk bangkit dan akhirnya perubahan berlaku selepas gol pertama.

“Melaka bermain lebih baik tetapi kita mengambil kesempatan atas kelekaan mereka. Beberapa pemain saya tidak menjadi dan seperti kehilangan arah. Saya berpuas hati meskipun bermain kurang baik dan gol pertama memberi kami satu suntikan untuk mencari gol kedua.

“Saya dan barisan kejurulatihan berbincang untuk melakukan pertukaran sejak dari minit ke-65 dan akhirnya melakukan perjudian untuk membuat pertukaran kerana kami perlukan pemain yang lebih cergas dan hasilnya kami berjaya melakukan perubahan dan membawa pulang satu mata,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sri Pahang FC kini ditangga kelima liga dengan 18 mata dari 15 perlawanan dan akan bertemu Penang FC dalam aksi seterusnya pada Khamis.