SKUAD muda Malayan Tigress B-19 bakal berdepan cabaran getir apabila diundi dalam Kumpulan F bersama gergasi Asia, Jepun, serta Iran dan Guam bagi Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026.
Bakal berlangsung dari 2 hingga 10 Ogos 2025 di Kuala Lumpur, anak buah Cameron Ng pastinya bersemangat untuk menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri sebagai tonik tambahan untuk mencipta kejutan.
Undian ini dilihat sebagai satu ujian besar buat skuad Harimau Malaya wanita, apatah lagi Jepun merupakan kuasa besar bola sepak wanita di peringkat dunia, manakala Iran juga semakin menunjukkan perkembangan positif di rantau Asia.
Namun, kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri diharapkan mampu membakar semangat pemain-pemain muda negara untuk memberikan aksi terbaik dan meletakkan nama Malaysia dalam peta bola sepak wanita Asia.
Saingan ini bukan sahaja peluang untuk memburu tiket ke pentas utama, tetapi juga menjadi medan penting dalam pembangunan bola sepak wanita negara, selari dengan misi jangka panjang FAM melalui Blueprint Bola Sepak Wanita Malaysia.
Mampukah Malayan Tigress B-19 mencipta kejutan di bumi sendiri? Segalanya bakal terjawab Ogos nanti!