DI sebalik pelbagai kritikan dan kontroversi yang tercetus dalam Final Piala Malaysia 2024/25, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil mempertahankan prestasi pengadil Razlan Joffri Ali, dengan mengesahkan bahawa semua keputusan penting yang dibuat adalah tepat dan mengikut undang-undang FIFA 2024/25.
Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Dato’ S. Sivasundaram berkata, hasil laporan Penilai Pengadil serta analisis Unit Pengadil dan Jawatankuasa Prestasi Pengadil FAM, mendapati Razlan mengendalikan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu dengan baik dan tidak mempengaruhi keputusan akhir.

Razlan Joffri Ali merupakan pengadil utama yang mengadili Final Piala malaysia 2025
“Keputusan kad kuning kedua (perintah keluar padang) yang diberikan kepada kedua-dua pasukan adalah tepat dari segi undang-undang permainan. Begitu juga dengan keputusan penalti untuk JDT dan pembatalan gol kerana offside, semuanya betul mengikut semakan dan protokol VAR yang sangat cemerlang,” jelas Dato’ Sivasundaram.
Beliau turut menegaskan bahawa semua ‘key match incident’ telah diadili dengan penuh teliti dan walaupun ada kesilapan kecil berlaku, ia tidak cukup besar untuk mengubah keputusan perlawanan.
FAM dalam masa yang sama menegaskan komitmen untuk terus menjaga mutu pengadilan di negara ini tanpa sebarang kompromi, sekali gus menyeru semua pihak menghormati semangat kesukanan yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan pada malam final tersebut.