KETUA jurulatih skuad wanita bawah 20 tahun negara, Cameron Ng menyuntik semangat juang kepada anak buahnya menjelang aksi pembukaan Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 menentang Iran di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.
Mengakui skuad muda negara memiliki barisan pemain yang berkualiti, Ng tetap berpijak di bumi nyata dengan menekankan bahawa kualiti itu perlu diterjemahkan dalam perlawanan kompetitif di pentas Asia.
“Saya rasa kami ada skuad yang sangat bagus, tapi itu tidak bermaksud kami sudah setaraf dengan pasukan-pasukan lain di peringkat global. Namun saya yakin pemain-pemain saya akan beri 100 peratus setiap kali turun ke padang,” katanya ketika sesi sidang media di Cheras, pagi Selasa.
“Saya tekankan kepada mereka, kita perlu bermain tanpa penyesalan. Apabila tamat perlawanan, kita keluar dari padang dengan yakin bahawa kita sudah berikan segalanya untuk mendapatkan keputusan terbaik.”
Skuad Malayan Tigress B-20 dijadual membuka kempen menentang Iran pada Jumaat, sebelum meneruskan cabaran berdepan Jepun (Jumaat) dan Guam (Ahad), dengan semua perlawanan berlangsung di Cheras pada jam 8:45 malam.
Cameron turut berharap kehadiran penyokong tempatan mampu memberi dorongan tambahan buat pemain-pemain muda negara untuk menampilkan persembahan terbaik.
“Kalau lebih ramai penyokong hadir, itu akan jadi satu kelebihan besar buat kami. Saya pasti pemain tidak akan hampakan dan akan berikan aksi terbaik mereka apabila turun ke padang,” tambahnya.
Kapten pasukan, Nur Dhiyaa Addin Azhari turut hadir dalam sesi media dan menzahirkan keyakinan terhadap rakan sepasukan untuk tampil berani dan bermaruah di hadapan penyokong sendiri.