BEREGU lelaki negara, Tee Kai Wun mengakui dia dan pasangannya, Man Wei Chong kini lebih lapar untuk memburu gelaran lebih berprestij termasuk Kejohanan Dunia di Paris hujung bulan ini.

Menurutnya, mereka bukan sekadar menyasarkan kejayaan di pentas dunia, malah turut berazam layak ke Jelajah Dunia Akhir BWF penghujung musim ini yang menghimpunkan lapan pasangan terbaik dunia.

“Memang kami akan fight untuk Kejohanan Dunia ini sebab semua pemain pun nak sangat kejuaraan besar macam tu. Tapi bukan World Champ saja, kami juga ada target untuk layak ke Jelajah Dunia hujung tahun ini, jadi setiap kejohanan pun kami kena fokus,” katanya.

Setakat ini, mereka sudah meraih dua kejuaraan Masters Indonesia dan Masters Malaysia, namun Kai Wun menegaskan mereka masih belum puas dan sentiasa dahagakan kejayaan lebih besar.

“Setakat ini kami dah menang dua gelaran, tapi belum puas lagi… dalam badminton, tak ada siapa yang akan rasa cukup,” katanya lagi.

Dia turut mengakui mereka masih belum menemui jalan menewaskan pasangan pilihan dari China Liang Wei Keng-Wang Chang, namun terus berusaha memperbaiki permainan khususnya dari segi ketahanan mental ketika penghujung perlawanan.

“Kalau lawan pasangan China tu, memang kami belum pernah menang. Setiap kali lawan pun kami fight, tapi hujung-hujung game kami kalah… mungkin masa tu mereka lebih berani, kami pula main lebih selamat,” ujarnya.

“Boleh cakap kami belum cukup kuat dari segi kekuatan hujung-hujung game. Tapi kami cuba ubah mindset dan cara kami nak atur permainan,” katanya.