CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei, terus bergelut dengan perselisihan, apabila gagal menyatukan pemikiran di gelanggang hingga boleh menjejaskan tumpuan ke Kejohanan Dunia Badminton di Perancis hujung bulan ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky, berkata prestasi mereka tidak harus dilihat sekadar menang atau kalah, sebaliknya keupayaan mengekalkan ketenangan ketika perlawanan sengit masih menjadi persoalan besar.

“Kalau mereka dapat mata mudah, mereka nampak ‘masuk’ dalam permainan, tapi bila lawan mula beri tekanan, mereka nampak macam panik, ini yang saya perasan,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Menurut Rexy, isu utama dalam gandingan Tang Jie-Ee Wei mirip situasi Pearly Tan dan M Thinaah sebelum ini, namun beregu wanita itu berjaya menanganinya tanpa perlu perlu berpisah.

“Pearly dulu pun pernah sukar terima kesilapan Thinaah, tapi sekarang mereka dah boleh saling terima dan hasilnya prestasi mereka semakin konsisten,” ujarnya yang berharap perubahan sama berlaku dalam kem beregu campuran.

Rexy menegaskan bahawa hubungan sesama pasangan perlu dibina di luar dan dalam gelanggang, kerana hanya pasangan itu sendiri yang mampu membantu apabila permainan tidak berjalan lancar.

“Kalau satu pihak masih tak boleh ‘accept’, maka tak guna kita baiki teknik sebab masalah sebenar ialah cara berfikir dan cara mereka melihat satu sama lain,” katanya lagi yang percaya perubahan sikap dalaman itu kunci kepada kejayaan di pentas dunia.