PASUKAN bola sepak wanita kebangsaan gagal menyaingi kehebatan skuad wanita Bangladesh apabila tewas 0-6 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, Bangladesh.

Skuad negara yang dalam rangka persediaan menghadapi kempen Kejohanan Piala AFF Wanita di Filipina bulan hadapan jelas bergelut dalam perlawanan ini dan banyak perkara yang perlu dilakukan oleh barisan kejurulatihan.

Malaysia ketinggalan 4-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Mossamat Akhi Khatun pada minit kesembilan dan 29, Sabina Khatun minit ke-25 dan Mossamat Sirat Jahan pada minit ke-44.

Tidak banyak percubaan bahaya dapat dihadirkan oleh Malayan Tigress yang dilihat lebih banyak berada di kubu sendiri kerana sering diasak pasukan lawan yang mendapat sokongan padu dari penyokong tempatan.

Bersambung babak kedua, Bangladesh menggandakan asakan dan berjaya menambah dua lagi gol oleh Monika Chakma pada minit ke-66 sebelum Srimothi Krisnarani menambah derita Malaysia dengan gol keenam pada minit ke-73.

Kedudukan 6-0 kekal hingga tamat perlawanan dan ianya adalah tanda bahawa masih banyak yang perlu dilakukan oleh skuad bimbingan Jacob Joseph ini menjelang kejohanan AFF nanti.

Skuad negara akan bertemu sekali lagi dengan Bangladesh pada 26 Jun nanti di venue yang sama sebelum berangkat ke Manila untuk menyertai kejohanan terbesar bola sepak wanita Asia Tenggara.