PERTEMBUNGAN yang diibaratkan buku bertemu ruas antara pasukan Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) FC pastinya dinantikan seluruh peminat bola sepak tanah air.

Pertemuan ‘ El Classico’  kali ini meletakkan JDT sebagai tuan rumah bagi melayani kunjungan Selangor FC yang bakal bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi Liga Super.

Rekod ‘head to head’ menunjukkan mereka telah bertemu sebanyak 17 kali, dan 11 kemenangan berpihak Harimau Selatan, seri 1 kali, dan Selangor hanya menang lima kali.

Ditambah pula dengan rekod Gergasi Merah yang agak hambar di gelanggang lawan dan JDT yang sangat ampuh di gelanggang sendiri sudah pasti perlu difikirkan sebaik mungkin oleh Michael Feichtenbeiner.

Pasukan JDT sudah pasti berada dalam momentum terbaik apabila telah melayakkan diri dalam pusingan saingan Liga Juara-Juara AFC setelah menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam aksi dramatik perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

 

Meskipun pasukan Selangor FC tidak begitu konsisten dalam aksi Liga Super sebelum ini, namun setelah berehat panjang skuad kendalian Feichtenbeiner dilihat segar dengan kemenangan besar 7-0 menentang Sarawak United FC dalam aksi beberapa hari lalu.

Dua penyerang import JDT FC, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri sudah pasti perlu dirantai sebaik mungkin pertahanan Selangor FC apabila masing-masing begitu pantas dan tajam dalam melakukan penyudah.

Bagi Selangor FC pula, kelibat Brendan Gan yang bergelut dengan kanser testis yang dilalui ini sebelum ini perlu dikawal ketat pertahanan JDT FC kerana sedar meskipun tidak berada dalam prestasi sebenar, tetapi dia adalah pemain berjiwa besar bagi Skuad Merah Kuning yang akan melakukan apa sahaja demi pasukan kesayangannya.

Kedua-dua pasukan jelas memiliki aura dan karisma masing-masing kerana Merah Kuning dan Harimau Selatan mempunyai sejarah pertemuan yang pastinya menjanjikan aksi menarik sepanjang 90 minit perlawanan.

 

Segala-galanya terletak di tangan anak buah  Feichtenbeiner dan Benjamin Mora bagi merencanakan strategi dan taktikal terbaik bagi mengutip tiga mata penuh malam esok (Jumaat).

Selangor dilihat sebagai ‘underdog’ pastinya beraksi dengan tekanan yang agak kurang meskipun ingin mengutip tiga mata penuh apabila sekadar berada di tempat ke-6 dengan 11 mata manakala Harimau Selatan pula sudah pasti turut ingin mengukuhkan rekod kemenangan bagi merampas semula takhta Liga Super daripada Sabah FC.