KEKALAHAN kepada Croatia bukanlah noktah buat skuad bawah 16 (B-16) tahun negara sebaliknya, ia harus dijadikan pembakar semangat untuk bangkit menjelang kempen kelayakan Piala Asia B-17 2026 di Vietnam hujung bulan ini.

Sejarah membuktikan, skuad muda Harimau Malaya pernah melalui detik sukar yang sama. Pada 2022, pasukan ketika itu dibimbing Osmera Omaro turut menerima kecaman hebat selepas gagal di Piala AFF dan tewas dalam aksi persahabatan, namun berjaya menutup mulut pengkritik dengan menjuarai Kumpulan B kelayakan Piala Asia B-17, termasuk membenam tuan rumah Indonesia 5-1.

Dipetik dari BH Sukan, Bekas pengurus pasukan B-16, Dato Christopher Raj, percaya kekalahan keatas Croatia tidak menggambarkan kemampuan sebenar skuad bimbingan Javier Jorda Ribera. Baginya, aksi persahabatan bukan ukuran mutlak, sebaliknya ruang untuk jurulatih menguji formasi dan keserasian pemain menjelang kejohanan utama.

“Jangan risau dengan kritikan, teruskan perjuangan dan ini juga proses pembelajaran kepada pemain muda. Saya memang positif yang pemain akan bangkit dan mereka mampu membuat kejutan di Vietnam nanti,” katanya.

Christopher turut menekankan keperluan aspek mental dan motivasi dalam membentuk pasukan muda yang kuat. Beliau mendedahkan pada 2022, pasukan ketika itu diberi suntikan semangat menerusi video motivasi harian dan sesi bersama pakar psikologi, yang membantu pemain melupakan kekalahan dan kembali fokus terhadap misi utama.

“Pada 2022, saya sebagai pengurus pasukan sediakan hampir 15 hingga 20 video motivasi untuk pemain. Video itu dimainkan setiap kali ketika sarapan, makan tengah hari dan makan malam untuk memastikan mereka melupakan kekalahan.

Malaysia bakal beraksi dalam Kumpulan C bersama tuan rumah Vietnam, Singapura, Hong Kong, Kepulauan Mariana Utara dan Macau, dengan hanya juara kumpulan akan melangkah ke pusingan akhir di Arab Saudi tahun depan.