KETUA jurulatih Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menegaskan skuad muda negara kini sudah bersedia sepenuhnya menghadapi cabaran di Piala Dunia Remaja Lelaki 2025, hasil persiapan rapi sejak Mei lalu merangkumi siri latihan, perlawanan persahabatan dan aksi kompetitif bertaraf tinggi.
Beliau berkata, pasukan sudah melalui proses persiapan yang panjang termasuk menyertai Piala Sultan Johor (SOJC), selain bakal berdepan pasukan senior kebangsaan dan Korea Selatan dalam aksi pemanas badan di Ipoh dari 17 hingga 20 November ini. Skuad itu juga akan mengadakan dua lagi aksi persahabatan antarabangsa di India menentang Ireland (24 November) dan Namibia (25 November) sebelum membuka tirai kempen dunia.
“Secara keseluruhan, saya boleh katakan persiapan kita baik dan lengkap — dari segi kecergasan, mental pemain dan taktikal, semuanya berada pada tahap yang memuaskan. Tiada kecederaan besar, cuma beberapa pemain alami kecederaan kecil,” katanya ketika sidang media pengumuman skuad.
Nor Saiful bagaimanapun mengingatkan bahawa sebagai pasukan junior, ruang penambahbaikan tetap besar terutama dalam menyesuaikan diri dengan rentak dan corak permainan berbeza setiap lawan.
“Junior team ni, setiap kali bermain mesti ada pembetulan. Bila jumpa Australia, gaya permainan mereka lain. Bila lawan England, strategi mereka pula berubah. Kadang-kadang pemain ambil masa sedikit untuk adaptasi dan itu jadi kelemahan yang perlu kami perbaiki,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa keupayaan untuk belajar dengan cepat dan bersedia secara mental menjadi kunci utama dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia Remaja. Pengalaman berdepan pelbagai pasukan dunia sebelum ini dijangka membantu pemain memahami kepentingan keberanian dan ketenangan di bawah tekanan.
“Paling penting, pemain kena bersedia sebelum turun ke padang. Mereka perlu tahu apa yang bakal berlaku dan cepat menyesuaikan diri bila corak permainan berubah,” katanya lagi.
Pasukan remaja negara bakal membuka tirai Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2025 pada 29 November menentang Austria, sebelum berdepan Belanda pada 30 November dan England pada 2 Disember dalam saingan Kumpulan E.