MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memberi amaran supaya pihak terlibat dalam kemelut pentadbiran Olahraga Malaysia (MA) tidak membazirkan masa dengan pertikaian, sebaliknya segera mencari penyelesaian demi kelangsungan persiapan atlet negara menjelang Sukan SEA Thailand, Disember ini.
Menurutnya, isu perebutan kuasa dan aduan terhadap pelantikan tertentu hanya akan menjejaskan fokus atlet yang sedang menjalani latihan intensif di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).
“Latihan dan persiapan atlet sedang berjalan seperti biasa, tetapi pentadbiran sukan perlu segera diselesaikan supaya pembangunan sukan tidak terbantut,” tegas Hannah ketika ditemui selepas majlis pelancaran kompleks sukan baharu Taylor’s Group di Mont Kiara, hari ini.
Beliau menegaskan, apabila isu pentadbiran berlarutan sehingga ke mahkamah, ia memberi kesan besar kepada operasi termasuk akaun dibekukan serta gaji pegawai teknikal (termasuk barisan kejurulatihan) tidak dapat dibayar.
“Saya ada lihat dalam beberapa kes lain, bila masuk mahkamah, akaun dibekukan, gaji tak boleh dibayar, dan semua ini menyusahkan. Jadi jangan bazir masa dengan isu remeh, fokus kepada atlet,” katanya lagi.
Hannah menekankan bahawa olahraga kekal antara penyumbang utama pingat dalam mana-mana temasya, justeru kestabilan organisasi amat penting bagi memastikan kontinjen negara tidak kehilangan kelebihan tradisi itu.
Beliau turut mengesahkan Pesuruhjaya Sukan (PJS) sedang menjalankan siasatan awal terhadap aduan yang diterima dan kementeriannya menunggu hasil siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.
Semalam, Pesuruhjaya Sukan, Arrifin Mohd Ghani, mengesahkan pihaknya akan bertemu Presiden Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTKLAA) Datuk Seri Dr V. Pulainthiran, minggu ini.