SKUAD bawah 19 Tahun Kebangsaan (B-19) kini sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan Youth International U-19 Football Tournament 2022 yang akan berlangsung dari 5 hingga 11 Ogos ini di Binh Duong, Vietnam.
Turun dengan label sebagai pasukan pilihan selepas berjaya muncul juara Kejuaraan AFF B19 di Indonesia tempoh hari, barisan pemain yang baharu ini dilihat begitu bersemangat dan yakin mampun muncul juara dalam kejohanan jemputan empat penjuru ini.
Pengendali negara, Hassan Sazali Waras menjelaskan pemilihan ramai muka baru bagi menghadapi kejohanan itu adalah untuk memberi peluang kepada pemain-pemain yang tidak terpilih ke Indonesia untuk menunjukkan kemampuan mereka sekaligus meningkatkan jumlah pemain B-19 negara.

Hassan Sazali Waras
“Semua pemain yang dipanggil sama ada ketika saingan AFF tempoh hari atau kejohanan jemputan ini mempunyai peluang untuk ke Mongolia bagi kelayakan Piala Asia B-20 Tahun September ini.
“Saya ingin lihat pemain mana yang betul-betul boleh dibawa untuk menghadapi kelayakan itu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM pada Selasa.
Sementara itu penyerang yang tersisih ke Indonesia akibat kecederaan, Azhad Harraz Arman mahu mengulangi kejayaan di Indonesia walaupun skuad kali ini dibarisi ramai pemain baru.
Dia juga mahu menggunakan kejohanan ini untuk membuktikan kemampuannya kepada jurulatih dan akan memberikan segalanya meskipun belum pulih sepenuhnya dari kecederaan bahu yang dialami.

Azhad Harraz Arman
“Secara peribadi saya menyasarkan untuk menjuarilai kejohanan ini kerana kita sudah memenangi Piala AFF baru-baru ini. Pastinya ada tekanan tetapi kami harus bekerja keras dan tidak boleh mengambil mudah pasukan lain.
“Saya akan cuba beri yang terbaik pada kejohanan ini untuk merebut tempat dalam pasukan kerana terlepas kejohanan sebelum ini. Ianya bukan rezeki saya tetapi ini adalah masa buat saya buktikan kemampuan walaupun terpaksa masih belum pulih sepenuhnya,” katanya kepada Flash Sukan.
Kejohanan Youth International U-19 Football Tournament 2022 itu turut disertai Thailand, Myanmar dan tuan rumah Vietnam. Malaysia akan menentang Thailand pada 5 Ogos, Vietnam 7 Ogos dan Myanmar pada 9 Ogos.