MALAYSIA menerusi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) telah diberikan lampu hijau oleh Persatuan Sepak Takraw Dunia (Istaf) dan Persiapan Sepak Takraw Asia (Astaf) untuk menganjurkan Piala Dunia Sepak Takraw yang dijadualkan dari 19 hingga 26 Mei 2024.

Kejohanan julung kali itu dijangka dilangsungkan di Stadium Titiwangsa akan melibatkan 16 pasukan maksimum dan juga bakal memperkenalkan sistem ranking kepada negara-negara yang bertanding.

Perkara ini disahkan oleh Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan dalam sidang media selepas mesyuarat komiti pelarasan Piala Dunia Istaf di Kuala Lumpur pada Isnin.

 Sumali Reduan

Sumali berkata pihak PSM dan ASTAF telah bersetuju untuk menjemput 16 pasukan bertanding pada kejohanan sulung ini dan 80 peratus atau 12 pasukan negara elit sudah menyatakan persetujuan.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Presiden ASTAF merangkap Pengarah ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader yang turut mengesahkan pengenalan ranking kepada sukan sepak takraw dengan Piala Dunia di Kuala Lumpur bakal menjadi perintis kepada projek ini.

“Kejohanan Piala Dunia Malaysia ini diambil kira sebagai ranking kejohanan sepak takraw dunia dan kita akan adakan juga ranking untuk Sukan Asia di Nagoya dan Kejohanan Sepak Takraw Dunia kerana ISTAF hanya benarkan negara yang mempunyai ranking untuk menyertai Sukan Asia.

“Sebanyak sepuluh negara sudah mengesahkan penyertaan iaitu Malaysia, Thailand, India, Korea Selatan, Myanmar, China, Chinese Taipei, Vietnam, Brunei, Singapura dan Jepun manakala dua lagi pasukan akan memberikan kata putus sebelum 31 Januari 2024 iaitu Indonesia dan Filipina.

“Sementara itu kita juga menerima maklum balas positif daripada Jerman, Kombinasi Negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat yang turut mahu menghantar pasukan,” katanya.

Halim juga turut mengesahkan bahawa kejohanan berprestij itu akan menggunakan sistem 15 mata yang sudah mula digunakan ketika ini dan Arab Saudi dinamakan sebagai tuan rumah untuk Piala Dunia Takraw Wanita pada 2025.