PEMAIN boling negara, Gillian Lim memburu gelaran sulungnya di Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars Bawah 22 tahun (B22) yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 15 Disember ini.

Pemenang pingat perak di Kejohanan Dunia 2023 dan di Kejohanan Tenpin Boling Asia 2023 itu berkata, dia sudah menyertai kejohanan ini sejak berusia 12 tahun lagi namun tidak pernah menggenggam gelaran yang diidamkan.

Justeru itu, atlet berusia 24 tahun dari Miri, Sarawak itu berazam untuk mencapai hasrat berkenaan dalam kategori Cabaran Gen Z (bawah 25 tahun) meskipun terpaksa berdepan cabaran sengit pencabar dari negara luar.

Gillian Lim belum pernah meraih sebarang kejuaraan dan mahu melakukannya di Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars,6-15 Disember ini di Sunway Megalane, Sunway Piramid.

“Saya hanya meraih pingat perak dalam acara berpasukan di Kejohanan Dunia (Kuwait) tapi di sini (Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars) saya tidak pernah lagi meraih gelaran antarabangsa dan berharap dapat meraihnya pada tahun ini.

“Setakat saya menyertai kejohanan ini, kebanyakkannya (pencapaian) dapat memasuki final dan juga berada dalam kelompok 10 terbaik. Jadi tahun ini, saya akan cuba yang terbaik dan dapatkan kedudukan dalam kelompok tiga terbaik.

“Sebelum ini dalam acara terbuka wanita, saya pernah berada dalam kelompok tiga terbaik tetapi untuk nombor satu, belum pernah… jadi saya nak bermain sehabis baik untuk penyertaan tahun ini,” kata Gillian yang pernah meraih perak dan gangsa ketika mewakili kontinjen negara di Sukan Sea Vietnam.

Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars Bawah 22 tahun (B22) edisi kali ke-23 berjaya menarik penyertaan beberapa negara antaranya Australia, Brunei, Kemboja, China, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Jepun dan Singapura.

“Tahun ini, kami gembira apabila dapat menyaksikan lebih 14 negara menyertai kejohanan. Objektif utama kami adalah mempromosikan sukan boling itu sendiri serta kejohanan boling remaja ini.

“Kami bermula dari tahun 1999 dan sejak dari itu, kejohanan menunjukkan peningkatan yang positif,” kata Pengarah Eksekutif Sunway Mega Lanes, Foong Tak Meng dalam sidang media sempena pengenalan kejohanan, hari ini.