PASUKAN Skuasy wanita Malaysia mencipta kejutan besar dalam Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia apabila berjaya menewaskan pilihan keempat, England, 2-0 dalam aksi suku akhir di Hong Kong, semalam.
Kejayaan ini disemarakkan oleh persembahan cemerlang bintang muda negara, Aira Azman yang menjadi kunci kemenangan pasukan wanita negara.
Aira, 20, diturunkan sebagai pemain pertama terbukti menjadi keputusan tepat percaturan skuad negara apabila dia berjaya meletakkan Malaysia di hadapan dengan kemenangan empat set ke atas Lucy Beecroft, 5-11, 13-11, 11-7, 11-6.
Meskipun hanya menduduki ranking ke-31 dunia, Aira menunjukkan ketenangan luar biasa untuk menundukkan Beecroft yang berada di tangga ke-33 dunia dalam masa 39 minit.

Aira Azman. Foto: WSF
Momentum kemenangan diteruskan oleh pemain No. 10 dunia, S. Sivasangari, yang memastikan Malaysia mara ke separuh akhir apabila menewaskan pemain England, Sarah-Jane Perry, dalam pertarungan empat set, 4-11, 11-7, 11-8, 11-6.
Kemenangan ini dicapai dalam masa 40 minit, sekaligus memastikan England tersingkir.
Sivasangari, 25, memuji impak besar kemenangan Aira, kerana pemain yang terlebih dahulu masuk ke dalam gelanggang amat penting untuk membantu rakan sepasukan yang lain.

S. Sivasangari. Foto: WSF
“Pemain pertama selalunya memainkan peranan besar dalam menetapkan momentum pasukan.
“Kemenangan Aira memberikan keyakinan tambahan kepada saya untuk beraksi dengan lebih baik,” katanya.
Mengulas perlawanan peribadinya, Sivasangari bersyukur dapat membantu Malaysia mencatat kemenangan dalam empat set permainan.
“Set pertama agak mencabar, tetapi saya tahu dalam perlawanan seperti ini, ada masa kita bermain kurang baik dan ada masa kita beraksi cemerlang.
“Saya fokus untuk kekal konsisten dan bersyukur kerana dapat membantu pasukan meraih kemenangan.”

S. Sivasangari. Foto: WSF
Malaysia kini bersiap sedia untuk aksi separuh akhir hari ini, di mana mereka akan menentang pemenang perlawanan antara pilihan kedua, Amerika Syarikat, ataupun India.
Dengan prestasi semasa yang mengagumkan, skuad wanita negara kini dilihat sebagai ancaman besar dalam kejohanan ini.