SELEPAS selesai tujuh perlawanan peringkat kumpulan Piala Asia 2023 di Qatar, satu perkara yang jelas terserlah kekurangan adalah suasana hiruk pikuk di stadium apabila kebanyakan venue kelihatan sendu dan tidak bermaya meskipun mencatatkan jumlah kehadiran yang menggalakkan.

Perkara ini mungkin berubah pada aksi Malaysia menentang Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin apabila penyokong Malaysia yang diketuai Ultras Malaya sudah pasti akan menggegarkan stadium untuk memberikan sokongan kepada para pemain Harimau Malaya.

Kehadiran penyokong Malaysia sudah pun mula dirasai apabila Kelab Kompang Qatar sudah mula menghangatkan suasana apabila melakukan ‘chant’ beramai-ramai di Souq Waqif sekaligus menunjukkan Asia dan dunia betapa fanatiknya penyokong Malaysia.

Kemeriahan penyokong ini turut mendapat perhatian Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang berkongsi video di laman sosial rasmi mereka yang mendapat sambutan daripada penyokong serantau.

Kempen 1,000 penyokong atau Ekor Harimau di Qatar dilihat bakal menjadi kenyataan dan Stadium Al Janoub sudah pasti akan melakar sejarah di mana penyokong Malaysia dan Ultras Malaya akan dikenali di seluruh dunia dalam memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad negara.

Penyokong Malaysia sememangnya diakui sangat menggerunkan terutama apabila lawan bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil dan kini mereka akan membawa semangat itu ke Qatar untuk memastikan Harimau Malaya mencatat kemenangan pertama dalam kempen Piala Asia menewaskan Jordan.

Pengendali Malaysia, Kim Pan-gon menerusi satu temubual sebelum ini juga secara terang-terangan mengakui Ultras Malaya adalah antara penyebab utama dia menerima tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi ketua jurulatih kerana sentiasa kagum dengan sorakan yang diberikan.

“Apa yang paling menarik minat saya adalah kumpulan penyokong, Ultras Malaya. Ketika saya ke sana sebagai jurulatih Hong Kong untuk dua perlawanan, saya kagum dengan penyokong Malaysia. Menyaksikan Ultras Malaya sentiasa di belakang pasukan memberikan inspirasi untuk saya menjadi ketua jurulatih mereka.

“Ketika saya ditawarkan jawatan ini, perkara pertama yang saya fikirkan adalah saya mahu menjadi ketua jurulatih dan bukannya penyelia pasukan dan kedua kerana saya tidak sabar untuk merasai sokongan daripada mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan: Ultras Malaya inspirasi utama KPG pikul tugas ketua jurulatih Malaysia

Malaysia akan membuka kempen Piala Asia menentang Jordan dan penyokong Malaysia sudah menunjukkan bahawa mereka sedang mendahului kategori penyokong terbaik dan bersedia untuk menunjukkan kepada semua kekuatan sokongan buat Harimau Malaya.