“Ale ale ale.. Ale ale ale Malaysiaku”
Itu antara lirik di laungkan peminat Malaysia di Doha, Qatar yang boleh menimbulkan getaran luar biasa dan meremang bulu roma.
Dengan semangat kenegaraan, Malaysian Association of Qatar (MAQ) telah menganjurkan ‘Fans Get Together’ untuk memberi semangat kepada pemain-pemain Malaysia yang akan berjuang di bumi berkah ini.
Malam tadi, warga Malaysia berjaya menggegak-gempitakan Souq Waqif di Doha, Qatar dengan tenaga dan semangat yang sangat luar biasa.
Presiden MAQ, Maizatul Lina Mustapa, 47, tahun berkata, kemeriahan yang di luar jangkaan jelas kelihatan hasil kerjasama semua pihak.
Menurutnya lagi, Kelab Kompang Qatar telah menggegarkan dengan laungan kompang dan lagu-lagu menaikkan semangat warga Malaysia serta menampilkan persembahan yang sangat jitu.
“Tercetusnya idea program ini, ketika saya berada di Souq Waqif sehari sebelum, dan secara kebetulan terjumpa dengan kawan-kawan dari Malaysia. Dalam masa yang sama kami diminta bergambar dengan mafla oleh media yang berada di situ.
“Maka tercetuslah idea untuk mengumpulkan semua Malaysians dan dengan kerjasama Kelab Kompang Qatar.
“Boleh saya katakan kurang dari 24 jam, Alhamdulillah, MAQ berjaya mengumpulkan warga Malaysia di sini,” kata Maizatul Lina menetap di Qatar kira-kira 17 tahun.
Jelasnya lagi, MAQ berhasrat untuk mengadakan aktiviti yang sama sehari sebelum setiap perlawanan Kumpulan E.
“MAQ ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Harimau Malaya. Anda pasti boleh. Doa kami sentiasa bersama Harimau Malaya. Demi Malaysia.
“Kepada pemain, buat sehabis baik…Aim High… The roaring Tigers.
“Malaysia Boleh! Malaysia Boleh!, ” katanya penuh bersemangat.
Keterujaan itu turut dirasai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menzahirkan ucapan terima kasih di atas pengorbanan ratusan penyokong negara itu.
Katanya, kehadiran penyokong amat penting bagi menaikkkan motivasi pemain yang akan berjuang di Piala Asia kali ini.