SKUAD Harimau Malaya tidak akan menyertai Piala Negara-Negara CAFA 2025 selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menarik diri susulan perubahan tarikh kejohanan yang kini berlangsung di luar kalendar rasmi FIFA.

Keputusan yang disifatkan sebagai “strategik dan realistik” itu diumumkan hari ini dan dibuat berdasarkan pelbagai faktor termasuk kebajikan pemain, kekangan logistik serta kesediaan pasukan untuk turun dengan skuad terbaik.

Tarikh baharu kejohanan iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September — diumum selepas undian rasmi dilakukan — mencetuskan kesulitan besar kerana tidak lagi berada dalam jendela FIFA, sekali gus menyukarkan proses pelepasan pemain, terutamanya mereka yang beraksi di liga luar negara seperti Sepanyol, Argentina, Colombia dan Jepun.

Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski menjelaskan bahawa membawa masuk pemain dari empat penjuru dunia dalam tempoh sesingkat itu bukan sahaja tidak praktikal, malah boleh menjejaskan kondisi serta tahap prestasi mereka menjelang aksi penting kelayakan Piala Asia.

Selain isu pelepasan pemain, kekangan penerbangan, jarak perjalanan jauh ke Tajikistan dan keperluan mematuhi syarat rehat minimum 72 jam antara perlawanan seperti ditetapkan FIFA turut menjadi pertimbangan besar dalam keputusan ini.

Sebagai langkah alternatif, Harimau Malaya akan mengadakan kem latihan penuh di Kuala Lumpur pada bulan September sebagai persiapan utama menghadapi aksi kelayakan menentang Laos dan Nepal yang dijadualkan pada Oktober dan November.

FAM turut menyatakan penghargaan terhadap jemputan dan kefahaman pihak penganjur CAFA, sambil menegaskan bahawa tumpuan kini diberikan kepada membina skuad yang lebih mantap untuk cabaran lebih besar akan datang.

Walaupun tidak beraksi di pentas serantau kali ini, Malaysia tetap komited dengan misi jangka panjang untuk terus mara dalam pentas bola sepak Asia.