SKUAD muda Filipina B-23 membuktikan bahawa bola sepak bukan sekadar soal reputasi apabila mereka mengejutkan Malaysia 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Mandiri ASEAN B-23 (Mandiri Cup) 2025 di Stadium Gelora Bung Karno malam tadi, hasil daripada perancangan taktikal yang ringkas namun cukup berkesan.

Berbekalkan skuad yang majoritinya terdiri daripada pelajar universiti, termasuk enam pemain yang kini menuntut di Amerika Syarikat dan Filipina, skuad kendalian Rob G. McPherson tampil dengan pendekatan bertahan dan serangan balas — dan ia menjadi racun kepada Malaysia yang lebih banyak menguasai bola tetapi gagal menyempurnakan peluang.

Filipina hanya memerlukan tiga percubaan tepat ke gawang — dan dua daripadanya berjaya disempurnakan oleh Otu Bisong Banatao, pelajar dari Old Dominion University yang mencuri tumpuan dengan penyudah klinikal pada minit ke-9 dan 40. Gol-gol itu hadir hasil daripada kelekaan barisan pertahanan Malaysia yang terlalu tinggi menekan.

“Kami tahu Malaysia akan pegang bola. Kami tunggu mereka buat kesilapan dan kami ambil peluang,” ujar Banatao tenang selepas perlawanan, memberikan gambaran betapa Filipina bersedia sepenuhnya dengan pelan permainan mereka.

Kejayaan Filipina ini bukan sekadar tentang gol, tetapi keberanian mereka menentang arus — menggunakan pelajar universiti sebagai tunjang utama, tetapi berjaya menyaingi pasukan Malaysia yang dibentuk daripada pemain Liga Super dan Piala MFL. Ketangkasan mereka dalam membaca ruang, menutup laluan hantaran dan menyerang dengan transisi pantas membuktikan mereka lebih bersedia secara mental dan taktikal.

McPherson juga tidak menyembunyikan keyakinan terhadap anak buahnya, sambil menegaskan bahawa pemilihan pelajar bukan bermakna mereka kurang berkualiti, tetapi lebih kepada pemain yang mempunyai semangat belajar dan komitmen tinggi terhadap corak permainan berdisiplin.

Otu Bisong Banatao dalam sidang media selepas perlawanan

Malaysia dilihat terperangkap dalam permainan sendiri – terlalu bergantung kepada penguasaan bola, tetapi kurang variasi di bahagian serangan. Filipina pula membuktikan bahawa permainan tanpa bola boleh menjadi senjata utama – dengan syarat disiplin pasukan berada di tahap maksimum.

Kemenangan ini meletakkan Filipina di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir, sementara Malaysia terpaksa mencari dua kemenangan dalam baki aksi menentang Brunei dan Indonesia — satu tekanan besar hasil daripada kealpaan awal dan kehebatan taktikal skuad muda The Azkals.

FOTO: phifootballfederation