IMPIAN skuad sepak takraw negara membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas di Sukan Asia ke-19, diranapkan regu Thailand, pada final yang berlangsung di Gimnasium Sukan Jinhua.

Pengendali, Ahmad Jais Baharun menurunkan regu Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir, Muhammad Zarif Marican manakala Mohammad Syahir Rosdi serta Muhammad Afifuddin Mohd Razali sebagai simpanan.

Gandingan negara itu berdepan tugas getir untuk mengatasi Pichet Pansan, Pattarapong Yupadee, Sittipong Khamchan serta simpanan Siriwat Sakha dan Varayut Jantarasena.

Pada set pertama, regu negara ketinggalan 0-3, menyamakan kedudukan 4-4, sebelum jauh tertinggal 13-19 dan tewas 15-21 dalam masa 28 minit.

Pada set kedua, pemain negara memberi saingan sengit, mendahului 4-1 , 5-2, sebelum Thailand mengikat kedudukan 7-7 dan saling mengejar.

Sehinggalah mata 18-18, pemain Thailand lebih yakin dan berjaya menyerap tekanan mula mengorak langkah memungut dua mata berturut-turut, sebelum regu Malaysia akur tunduk 19-21.

Kekalahan bermakna regu sepak takraw negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, dan melepaskan kejuaraan yang dimenangi di Temasya Jakarta-Palembang lima tahun lalu kepada skuad Gajah Perang itu.

Ini bermakna sepak takraw menutup tirai Temasya Hangzhou dengan dua pingat perak, selepas mereka tunduk kepada Thailand, dalam acara regu berpasukan 29 September lalu.

Lima tahun lalu, regu negara dibarisi Azlan, Zulkifli Abd Razak, Norhaffizi Abd Razak, Farhan Adam dan Syahir Rosdi, meraih emas dengan menewaskan regu Indonesia di final, manakala Thailand tidak mengambil bahagian dalam regu.