KEJAYAAN pasukan bola sepak bawah 23 (B-23) Malaysia melangkah ke separuh akhir Sukan SEA 2021 membuktikan kita tidak ketandusan pemain muda berpotensi untuk menyinar pada masa depan.

Malahan, sasaran ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga telah dicapai dan pemain hanya menanti saingan terakhir peringkat Kumpulan B bagi penentuan juara.

Bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal menerusi Twitter membuat ciapan terpesona dengan generasi baharu pemain negara yang menunjukkan mutu permainan cemerlang di Hanoi Vietnam.

“Kumpulan baru pemain bola sepak @Bradleymaloney dan pasukannya telah membuat persiapan.

“Ia mewujudkan generasi baharu pemain untuk masa hadapan.

“Saya berdoa dan berharap kejayaan pasukan ini untuk mencipta kitaran baru yang sangat diperlukan untuk bola sepak kita,” kata Rajagobal pada Ahad.

Malaysia bimbingan Brad Maloney sah ke separuh akhir kejohanan dwitahunan Sukan SEA walaupun mencatat keputusan seri 2-2 bertemu Singapura B-23 kempen ketiga kumpulan.

Kali terakhir Harimau Muda memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019.