MALAYSIA terpaksa melupakan hasrat untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan bola sepak Piala AFC B-23 apabila tewas dua kali berturut-turut dalam saingan Kumpulan C di Stadium Milliy di Tashkent, Uzbekistan.
Kali ini, skuad kendalian Brad Maloney itu tumpas 0-3 kepada Thailand sehingga mengundang pelbagai kritikan serta kecaman dalam kalangan peminat bola sepak tempatan di laman sosial.
Malaysia seharusnya menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan dengan pemain jelas tidak menunjukkan prestasi terbaik mereka dalam kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan.
Pada perlawanan sebentar tadi, gol Thailand dijaringkan oleh Suphanat Mueanta m-23, m-72 dan Channarong Promsrikaew m-69.
Skuad didikan Worrawoot Srimaka diperkuat oleh beberapa pemain yang bersaing di Sukan SEA Hanoi dan beberapa pemain dari luar negera, seperti Thanawat Suengchitthavon (Leicester City), Marcel Sieghart (TSV Rain am Lech) dan Chayapipat Supanpasuch (Estoril).
Harimau Muda akan bertemu Vietnam 8 Jun ini dalam aksi terakhir pelengkap jadual selepas negara serantau itu bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengikat Korea Selatan 1-1 yang beraksi kurang seorang pemain.
Keputusan seri itu bermakna juara bertahan telah dinafikan peluang untuk mengesahkan tempat mereka di peringkat kalah mati dengan baki satu perlawanan manakala Vietnam, naib juara pada 2018, masih berada dalam persaingan untuk mara.