PENJAGA gawang skuad bola sepak bawah 23 Malaysia (B-23), Muhammad Azri Ab Ghani bersyukur kerana misi utama melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan Sukan SEA 2021 tercapai.
Walaupun berbaki satu permainan menentang Kemboja pada Isnin, pasukan negara sah layak selepas Thailand yang membelasah lawan sama dengan jaringan 5-0 sama Sabtu malam memintas Singapura di kedudukan kedua Kumpulan B untuk memperoleh enam mata.
Malaysia pula mengutip tujuh mata selepas bermain tiga perlawanan di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.
“Alhamdulillah. Kami dah layak ke separuh akhir tapi ada satu lagi game lawan Kemboja untuk menentukan juara kumpulan atau nombor dua.
“Kami berharap dapat menamatkan saingan sebagai juara dan boleh berjumpa pasukan naib juara dari sebelah sana.
“Tapi kita buat satu persatu dahulu sebab rezeki kita ke semi final pun dah kita langkah,” katanya kepada Flash Sukan selepas perlawanan.
Azri, 22 yang juga penjaga gol Kuala Lumpur City FC menilai semangat berpasukan dipamerkan rakan permainan adalah kunci kejayaan kepada skuad Malaysia B-23 dalam edisi kali ini.
“Kami kuatkan hati, bekerjasama dalam pasukan dan bersatu dalam satu pasukan dan InshaAllah tiada masalah untuk buat terbaik di pusingan seterusnya nanti,” ujarnya.
Tempoh rehat sehari sebelum bertemu Kemboja dapat dimanfaatkan Brad Maloney bagi menyusun semula pasukan. Ada kemungkinan beberapa pemain utama akan direhatkan bagi memberi laluan pemain lain meneruskan baki permainan.
Apapun ia terpulang kepada perancangan Maloney untuk melakukan persiapan rapi dan lebih segar menjelang pertembungan separuh akhir di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada Khamis.