SUKAN terjun diharap mampu berjaya menempah sekurang-kurangnya lima lagi slot Olimpik Paris buat atletnya yang mengambil bahagian pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, bermula Jumaat ini.

Pengarah Teknikal Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Bryan Nickson Lomas berkata, beberapa atlet disandarkan harapan terutamanya penerjun berpengalaman negara, Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Wendy Ng dan Ooi Tze Liang.

Menurut Bryan, kejohanan di Doha itu menjadi peluang terakhir buat penerjun negara melayakkan diri ke Paris 2024.

Wendy Ng Yan Yee, antara atlet terjun yang dijangka melayakkan diri ke Paris 2024, pada Kejohanan Akuatik Dunia Doha bermula Jumaat ini.

“Kami harap empat atau lima lagi penerjun layak ke Paris, ini tidak termasuk Bertrand Rhodict Lises yang sudah layak.

“Buat masa ini, pingat bukan keutamaan kita tapi misi utama adalah untuk melayakkan diri terlebih dahulu. Sandaran utama kita pastinya dari penerjun berpengalaman seperti Pandelela, Dhabitah, Wendy, Tze Liang dan Syafiq Puteh.

“Bagaimanapun, beberapa penerjun muda kami juga mempunyai peluang 50-50 untuk layak,” katanya.

Bertrand Roddict masih satu-satunya atlet terjun negara yang sudah layak ke Olimpik Paris 2024 secara merit. -Pix Agensi

Untuk menempatkan diri ke Paris, penerjun negara perlu menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik dalam acara individu dan empat teratas dalam acara seirama.

Bryan berkata, Dhabitah yang mengalami kecederaan pergelangan tangan tahun lalu, akan beraksi dalam acara 10m platform wanita seirama bersama Pandelela, 3m papan anjal seirama dengan Wendy serta 3m papan anjal individu.

Selain acara individu, terjun seirama juga menjadi tumpuan skuad terjun negara.

Manakala Tze Liang dan Syafiq akan bergandingan dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki dan turut bersaing dalam acara 3m papan anjal individu.

Barisan skuad negara ke Kejohanan Akuatik Dunia di Doha

Lelaki: Ooi Tze Liang, Syafiq Puteh, Gabriel Gilbert Daim, Hanis Nazirul Jayasurya, Jellson Jabillin, Bertrand Rhodict Lises, Enrique Maccartney Harold.

Wanita: Pandelela Rinong, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri, Kimberly Bong, Ong Ker Ying, Nur Elisha Rania Muhammad Abrar Raj.