PASUKAN Kickerz FC menyasarkan muncul juara dalam penyertaan sulung Kejohanan Bola Sepak Remaja Jemputan Antarabangsa Guofeng 2024 di Kunming, China.
Presidennya, Aszahari Jameri berkata, Kickerz FC telah mengumpulkan pemain terbaik dan membuat persediaan rapi sebelum tiba di negara tembok besar itu.
“Ini adalah bukti komitmen mereka yang teguh terhadap semangat sukan bola sepak. Apabila berada di gelanggang bola sepak, pasukan ini menunjukkan sikap yang kukuh, permainan yang tersusun dan semangat sepasukan dalam usaha mereka yang gigih untuk meraih kemenangan,” katanya.
Kejohanan yang membabitkan lapan pasukan dari seluruh China, Kickerz FC dijangka menonjol sebagai lambang kemahiran dan komitmen yang jitu demi membawa imej Malaysia di pentas antarabangsa.
Kickerz FC akan bertemu dengan Yunnan Yukun FC dalam perlawanan pembukaan. Dua pasukan teratas dalam peringkat kumpulan akan bertemu di peringkat separuh akhir secara bersilang sebelum perlawanan akhir akan berlangsung pada 5 Februari nanti.
Kejohanan ini bermula pada Rabu selama enam hari bertempat di Guofeng Football Training Base, Kunming, China. Piala Guofeng 2024.
Kickerz FC ditubuhkan sejak tahun 2018 dan setakat ini berjaya menggondol 19 kejuaraan bola sepak akar umbi di Malaysia.