“DIA tidak boleh terlalu kecewa kerana semua orang buat kesilapan, saya buat kesilapan dan begitu juga pemain lain.

Tetapi selepas melakukan kesilapan, apa yang penting bagaimana untuk bangkit kerana dari situlah kita akan lebih matang selepas belajar daripada pengalaman,” demikian nasihat pertahanan Terengganu FC, Pape Diakite kepada penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

Tambah Diakite, apa yang terjadi pada situasi gol ketiga Johor Darul Ta’zim (JDT) sememangnya memeritkan untuk diterima Rahadiazli namun mengingatkan kepada semua peminat, dia masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah.

Baginya, menang atau kalah adalah adat pertandingan dan semua pemain Terengganu akan terus memandang ke hadapan serta berikan tumpuan kepada pertandingan seterusnya seperti memburu posisi yang lebih baik di Liga Super.

 

“Sebelum ke sini, dia (Rahadiazli) telah melakukan tugasan yang baik semasa di separuh akhir dan jangan lupa tentang perkara berkenaan.

“Dia masih berusia 20 tahun dan banyak lagi boleh dipelajari, tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan kerana kami menang sebagai satu pasukan dan kalah sebagai satu pasukan.

“Apa-apa pun, ini pengalaman yang sangat berguna kepada kami malah ini adalah final pertama saya dan rasa sangat bertuah dapat melakukannya pada tahun pertama bersama Terengganu,” katanya.

Dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, selepas Tchetche Kipre merapatkan jurang pada minit ke-76, kesilapan Rahadiazli yang keluar terlalu awal membuka ruang kepada Bergson Da Silva meraih gol ketiga pada minit ke-78.

Jaringan itu nyata merentap semangat perjuangan Terengganu FC yang dalam misi memburu gol penyamaan bagi menghidupkan sisa-sisa peluang mengheret permainan ke masa tambahan.