JEPUN memberi amaran awal bahawa mereka tidak akan menjadi pasukan belasahan apabila turun menentang Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Negara-Negara FIH 2025, esok.
Ketua jurulatihnya, Yoshihiro Anai menegaskan anak buahnya tetap akan memberikan aksi terbaik meskipun peluang ke separuh akhir sudah hampir tertutup selepas tewas dua perlawanan berturut-turut.
“Kami tetap mahu menang, kenapa tidak? Malaysia memang pasukan tuan rumah dan pasti mendapat sokongan padu, tapi kami juga ada maruah yang perlu dijaga,” katanya ketika ditemui selepas kekalahan 1-2 kepada Pakistan.
Menurut Anai, fokus utama mereka bukan semata-mata kemenangan ke atas Malaysia, sebaliknya lebih kepada membina skuad mantap menjelang Sukan Asia tahun depan.
“Kami mahu kekalkan penguasaan bola dan cuba menyerang secara tersusun. Dalam masa sama, kami perlu perbaiki kedua-dua aspek iaitu pukulan sudut penalti dan jaringan padang,” ujarnya.

FOTO:MHC
Anai juga mendedahkan lebih 70 peratus pemain muda yang beraksi di Kuala Lumpur ketika ini dijangka turut membarisi skuad ke Sukan Asia 2026, sekali gus menjadi tulang belakang pasukan masa depan.
“Saya tahu tekanan tetap ada sebagai jurulatih, tetapi ini adalah proses jangka panjang. Lawan Malaysia nanti, kami akan pastikan pemain tampil dengan semangat juang yang tinggi,” katanya.
Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga kumpulan dengan satu mata dan hanya kemenangan besar ke atas Jepun sambil mengharapkan New Zealand membelasah Pakistan dapat membuka ruang tipis untuk mara ke separuh akhir.
Namun dengan perbezaan jaringan kini memihak kepada lawan, harapan itu dilihat semakin samar dan bergantung sepenuhnya kepada keputusan perlawanan terakhir kumpulan.