GOH Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kini tinggal selangkah lagi untuk merangkul gelaran kedua musim ini, selepas mara bergaya ke final Kejohanan Badminton Terbuka Jepun.
Pasangan beregu lelaki negara itu menepati ramalan selaku pilihan utama, apabila menyingkirkan pencabar dari Chinese Taipei, Liu Kai Hsun-Yang Po Hsuan, dalam pertarungan dua set 21-19, 21-11.
Kejayaan itu turut menyaksikan mereka menjadi wakil kedua Malaysia ke pentas akhir selepas beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah.
Sze Fei-Izzuddin bagaimanapun bakal berdepan ujian sebenar esok, apabila dijadual menentang pilihan ketiga dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae yang menundukkan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-14, 21-15.

Kim Won Ho-Seo Seung Jae menjadi halangan akhir untuk Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani merangkul kejuaraan di Terbuka Jepun 2025.
Harapan untuk menyaksikan final sesama Malaysia musnah selepas Yew Sin-Ee Yi gagal menandingi kelincahan gandingan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir penuh tekanan.
Dengan rekod pertemuan 1-1, peluang seimbang untuk wakil negara namun berdasarkan momentum meyakinkan, Sze Fei-Izzuddin mampu mencipta gemilang namun perlu berwaspada dengan kekuatan gandingan Korea.