YAP Roy King dan Wan Arif Junaidi kini sedar bahawa mereka memiliki keyakinan kualiti untuk mencabar pemain dalam kelompok Top 30 dunia.

Menurut Roy King, kemaraan ke suku akhir Malaysia Masters, selepas mengejutkan pilihan keempat kejohanan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Chinese Taipei, membuka mata mereka supaya tidak terlalu memandang rendah kepada kemampuan diri.

“Ini beri kami keyakinan, malah ia juga membuktikan bahawa kami mempunyai kualiti untuk menentang lawan dalam kelompok 30 terbaik dunia.

“Jadi saya harap, selepas ranking kami naik, dapat menentang lebih ramai pemain yang hebat,” kata Roy King.

Sementara itu, Arif berkata, mereka tidak menjangka mampu melakukan kebangkitan.

“Saya tidak fikir apa-apa, cuma nak melawan dan berikan aksi terbaik.

“Apabila kami berjaya mengawal mental, semuanya akan membantu,” kata Arif.

Gandingan itu mengatasi Jhe Huei-Roy King 13-21, 21-15, 21-18 untuk menempah pertemuan dengan satu lagi pasangan pilihan dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Sementara itu, pilihan utama beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipaksa berkerja keras sebelum layak ke suku akhir.

Mereka mengatasi pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi 21-13, 13-21, 21-10.

Di suku akhir, Aaron-Wooi Yik akan berdepan Jin Yong-Na Sung Seung, selepas gandingan itu mengejutkan pilihan kelapan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-11, 21-8.

Dalam pada itu, pertembungan dua pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menyaksikan pilihan ketujuh, Wei Chong-Kai Wun memenangi perlawanan 21-15, 21-19 untuk menempah tiket ke suku akhir.