SAAT tumpuan tertumpu kepada kemegahan ranking nombor 3 dunia Pearly Tan-M Thinaah, satu lagi gandingan muda mula mencuri perhatian dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai beregu kedua negara.
Pasangan Ong Xin Yee-Carmen Ting yang kini berada di ranking ke-41 dunia menjadi taruhan baharu selepas menunjukkan kemajuan ketara, sekali gus membuka mata pengendali skuad beregu wanita negara, Rosman Razak.
“Progress mereka sangat bagus. Daripada ranking jauh kini sudah masuk kelompok 45 terbaik dunia. Bagi pemain muda berusia 18, 19 tahun, ini pencapaian yang sangat positif,” ujar Rosman yang menganggap gandingan itu antara calon terbaik sebagai pelapis utama.

Meskipun Go Pei Kee-Teoh Mei Xing kekal sebagai beregu kedua dari segi ranking (ke-22 dunia), Rosman enggan terlalu ghairah menamakan secara spesifik mana-mana pasangan, sebaliknya menekankan elemen persaingan sihat dalam kalangan pemain.
“Semua ada peluang jadi nombor dua atau tiga. Tapi setakat ini, Ong Xin Yee dan Carmen Ting lebih menyerlah berbanding junior lain,” katanya, yang tetap komited membina asas kukuh buat Pearly-Thinaah.
Selain itu, Rosman turut memantau rapat potensi pasangan remaja, Dania Sofea Zaidi-Low Zi Yu yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa meskipun baru berusia 18 dan 15 tahun.
“Mereka juarai Terbuka Slovakia dan ke separuh akhir di Austria serta Slovenia. Itu permulaan yang baik, tapi kita tak nak terburu-buru… beri mereka masa dan ruang,” katanya lagi.
Dengan pelapis mula menampakkan taring, misi mencari pengganti jangka panjang buat Pearly-Thinaah kini tampak semakin berada di landasan tepat.