PEMAIN pertahanan Harimau Malaya, Matthew Davies tetap tidak berpuas hati dan akan terus komited bekerja keras untuk mencapai konsistensi.

Dia yang menjalani latihan bersama kem kebangsaan sejak lima hari lepas giat membuat persiapan yang terbaik untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa di China pada minggu depan.

“Kami gembira berada di sini. Ia bagus kerana pasukan telah berkumpul lebih awal kerana kami mempunyai beberapa lawan yang sukar di hadapan dan lebih banyak masa kami perlu membiasakan diri, lebih baik.

“Kami semua bergerak ke arah yang sama dan berharap untuk mencapai keputusan yang positif,” katanya ditemui media selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Sabtu.

Malaysia akan menentang Syria pada 6 September diikuti bertemu China (9 September) di Chengdu.

Selain Matthew, pemain pertahanan lain yang dipanggil oleh Kim Pan-gon adalah Shahrul Saad, La’Vere Corbin-Ong, Syahmi Safari, Dominic Tan, Daniel Ting, Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Junior Eldstal dan Dion Cools.