PELANTIKAN Robert Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan baharu dalam struktur Harimau Malaya adalah satu tindakan tepat yang mencerminkan visi besar Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail untuk memartabatkan bola sepak negara.

Jurulatih antarabangsa Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah, turut menyatakan sokongannya terhadap langkah ini, yang dianggap sebagai satu langkah penting dalam pembentukan struktur bola sepak yang lebih kukuh dan kompetitif.

Menurut Raja Isa, pelantikan ini, bersama pelantikan lain seperti Ketua Jurulatih Pasukan Bawah 23 Tahun, Pengarah Teknikal AMD, dan pelbagai jawatan strategik lain, memerlukan masa untuk membuahkan hasil.

“Apa yang telah dilakukan oleh Tunku Ismail harus diberi tempoh masa untuk menunjukkan hasilnya. Perubahan besar ini memerlukan proses sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Selasa.

Beliau turut menekankan bahawa semua individu yang dilantik, termasuk Robert Friend, Ketua Jurulatih Pasukan Senior dari Australia, Peter Cklamovski  dan Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan, Nafuzi Zain, serta Pengarah Teknikal Akademik, perlu kreatif dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Katanya, amanah yang diberikan oleh Tunku Ismail serta restu yang diberikan menunjukkan betapa seriusnya usaha ini.

“Tunku Ismail telah membuktikan keupayaannya melalui pengalaman awal membangunkan JDT pada tahun 2013. Membina sebuah kelab dan membangunkan bola sepak negara adalah dua perkara berbeza, tetapi kedua-duanya memerlukan masa dan kesabaran,” tambah Raja Isa.

Beliau juga menyeru masyarakat bola sepak Malaysia untuk memberikan sokongan penuh kepada usaha Tunku Ismail ini.

“Kita semua harus berdiri teguh bersama Tunku Ismail dalam usaha memartabatkan bola sepak Malaysia, termasuk mencapai impian layak ke Piala Dunia dan Olimpik. Langkah-langkah yang diambil ini adalah berdasarkan penilaian dan kebijaksanaan Tunku Ismail, dengan sokongan penuh terhadap individu-individu yang berkelayakan dalam struktur ini,” katanya.

Raja Isa turut menekankan bagaimana negara-negara jiran seperti Bangladesh dan Vietnam telah mula mengambil langkah agresif, termasuk naturalisasi pemain dan pembentukan pasukan kebangsaan yang lebih kompetitif.

Ini menunjukkan betapa pentingnya untuk Malaysia terus bergerak seiring dengan perubahan dalam arena bola sepak antarabangsa.

Pelantikan Robert Friend, bekas pemain kebangsaan Kanada yang pernah beraksi di liga-liga terkemuka Eropah seperti Hertha Berlin dan Borussia Mönchengladbach, dianggap sebagai satu langkah yang mampu membawa perubahan besar.

ARTIKEL BERKAITAN : “Rob Friend ada pengetahuan mendalam bola sepak” – Tunku Ismail

Dengan pengalaman beliau dalam mentadbir organisasi bola sepak, Raja Isa optimis bahawa visi dan misi Tunku Ismail dapat direalisasikan.

Bekas pengendali kelab UiTM FC itu turut mendoakan agar segala usaha Tunku Ismail dipermudahkan oleh Allah dan berharap semua individu dalam struktur baharu ini dapat memenuhi visi besar untuk membawa bola sepak Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi dan dihormati di Asia.