Kredit Gambar: FRANCK FIFE/AFP
Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps memuji ketabahan Kylian Mbappe yang bangkit daripada kegagalan menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu Les Bleus menewaskan Maghribi dan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026.
Mbappe kembali mempamerkan sentuhan berbisa apabila meledak gol pada minit ke-60 sebelum Ousmane Dembele melengkapkan kemenangan Perancis, sekali gus memastikan mereka layak ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut.
Deschamps berkata, kegagalan awal itu langsung tidak menjejaskan keyakinan penyerang berusia 27 tahun tersebut untuk terus memberi impak kepada pasukan.
“Apabila membabitkan Kylian, tiada masalah. Dia tidak pernah meragui kemampuan dirinya walaupun sebelum itu gagal memanfaatkan satu lagi peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Menurut Deschamps, kejayaan mara ke kelompok empat terbaik dalam tiga edisi berturut-turut membuktikan konsistensi tinggi yang dimiliki skuad Perancis di pentas Piala Dunia.
“Tiga penampilan berturut-turut di separuh akhir adalah satu pencapaian yang cukup baik. Ia mungkin kelihatan seperti sesuatu yang biasa, namun hakikatnya ia bukan mudah untuk dicapai.
“Sudah tentu saya memiliki pemain-pemain berkualiti, jika tidak kami tidak mungkin berada di tahap ini. Namun, perlawanan hari ini tetap sukar, terutama selepas kami gagal menyempurnakan penalti dan beberapa peluang lain,” katanya.
Perancis kini hanya selangkah lagi untuk kembali ke pentas final apabila bakal berdepan pemenang antara Sepanyol dan Belgium di peringkat separuh akhir.
“Kami kini berada di kedudukan yang kami sasarkan. Selepas ini kami akan memberi tumpuan kepada proses pemulihan sebelum mengetahui siapa lawan kami,” ujar Deschamps.
Bagaimanapun, kem Perancis sedikit gusar apabila Mbappe terpaksa dikeluarkan pada penghujung perlawanan selepas mengalami hentakan pada buku lali. Penyerang Real Madrid itu dilihat meletakkan pek ais pada bahagian berkenaan ketika berada di bangku simpanan, namun tahap kecederaannya masih belum diketahui.