JURULATIH beregu negara, Rosman Razak melihat gandingan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yie memiliki nafsu yang membuak-buak untuk melayakkan diri ke saingan Olimpik Paris 2024.

Biarpun sudah keluar dari badan induk Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun gandingan tersebut dilihat lebih matang dan prestasi mereka juga lebih mantap dari sebelum ini.

“Mereka sudah keluar BAM. Mereka kini lebih matang. Sudah tentu keinginan mereka juga tinggi. Saya harus sama tahap dengan keinginan mereka. Mereka mahu untuk layak ke Olimpik,” jelasnya.

Tambah Rosman, kekalahan semalam merupakan sesuatu pelajaran bermakna kepada gandingan tersebut dan fokus seharusnya diberikan kepada kelayakan Olimpik Paris 2024 dan kejohanan akan datang.

“Kita tidak harus pandang ke belakang, masih ada banyak kejohanan di hadapan. Macam saya katakan, Kelayakan Olimpik sudah semakin hampir. Hari ini sudah habis, esok kita mula semula latihan,” katanya.

Menyedari ia adalah debut bagi Rosman Razak melatih gandingan Yew Sin-Ee Yie, banyak perkara yang harus dipelajari jurulatih dan pemain tersebut agar dapat membentuk persefahaman yang mantap.

“Ini kejohanan pertama saya dengan mereka, bukan hanya mereka, saya pun banyak harus belajar dari kejohanan ini. Paling penting, dalam kejohanan ini, mereka telah berikan segala-galanya yang mereka ada,” ujarnya.

Secara rumusan, jurulatih berpengalaman itu berpuas hati dengan prestasi positif yang dipamerkan gandingan tersebut apabila bermain secara total.

Namun, di peringkat tertinggi sebegini, pemain perlu mengelak dan mengurangkan unforced errors kerana kesilapan tersebut mampu mengubah keputusan dari menang kepada tewas.

“Secara keseluruhan, dari pusingan pertama dan pusingan kedua, mereka bermain secara total. Kalau lihat perlawanan ini juga mereka tidak bermain teruk, tetapi benda-benda sikit ini di tahap tertinggi kelompok lapan terbaik boleh mengubah keputusan,” kongsinya.