PROGRAM “Walk with The Al-Sultan Abdullah, King of Sports” mencipta momen penuh makna apabila ratusan peserta termasuk bekas atlet kebangsaan turun padang memeriahkan acara santai yang sarat dengan semangat kesukanan dan kebersamaan.

Kemeriahan di Stadium Merdeka itu menjadi lebih istimewa dengan kehadiran Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri yang dikenali sebagai raja berjiwa rakyat serta pencinta sukan sejati.

Bekas ratu badminton negara, Goh Liu Ying, mengakui teruja apabila dapat menyertai program julung kali dianjurkan Shekhinah PR, yang menyatukan legenda-legenda dari pelbagai cabang sukan di bawah satu bumbung sejarah.

“Ini kali pertama saya sertai acara seperti ini dan saya rasa ia sangat menarik kerana kita dapat berkumpul dengan lagenda-lagenda dari sukan lain serta berjalan bersama Tuanku yang begitu menyokong atlet,” katanya.

Goh Liu Ying, teruja dengan aktiviti santai yang dianjurkan.

Liu Ying turut menyifatkan suasana di Stadium Merdeka membangkitkan semangat patriotik apabila melihat bendera-bendera negeri berkibar sambil mengenang detik bersejarah tanah air di lokasi ikonik itu.

Sementara itu, legenda badminton Datuk Rashid Sidek menyifatkan acara berkenaan bukan sekadar riadah, sebaliknya menjadi platform mengeratkan kembali hubungan sesama bekas atlet yang sudah lama tidak bersua.

Datuk Rashid Sidek gembira mendapat peluang bertemu Al Sultan Abdullah serta rakan brkas atlet yang sudah lama tidak bersua.

“Bagus bila ada program macam ni sebab kita dapat jumpa balik kawan lama, tanya khabar, dan semak kesihatan masing-masing, suasananya sangat meriah dan penuh makna,” katanya, sambil memuji peranan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) terlibat dalam aktiviti sebegitu.

Datuk Leong Mun Yee mengakui, darjah kebesaean pertama ditwrimanya dianugerahkan Al Sultan Abdullah.

Sementara bekas penerjun kebangsaan, Datuk Leong Mun Yee berkata, beliau teruja kerana pingat pertama diterimanya dianugerahkan oleh Sultan Pahang sendiri: “Kali pertama saya menyertai acara sebegini dan amat teruja dapat bertemu legenda negara dari zaman berbeza.”

Seramai 120 bekas atlet kebangsaan terlibat dalam acara berkenaan.