SUASANA penuh nostalgia menyelubungi Stadium Merdeka apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM100,000 menerusi Yayasan Al-Sultan Abdullah, kepada dua badan kebajikan bekas atlet tanah air.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM60,000 disumbangkan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) manakala RM40,000 diberikan kepada Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri dan Kebangsaan (1979).

Pengerusi YAKEB, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail menerima sumbangan dari Yayasan Al-Sultan Abdullah berjumlah RM60,000 yang disampaikan Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, disaksikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Replika cek disampaikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dalam majlis penuh bermakna “Walk with the Al-Sultan Abdullah, King of Sports” yang menghimpunkan ratusan bekas atlet dan legenda sukan negara.

Dalam titahnya, baginda menzahirkan rasa terharu dapat kembali menjejak kaki ke Stadium Merdeka, gelanggang bersejarah yang menyaksikan detik-detik penting pembangunan sukan dan kemerdekaan tanah air.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Dato’ Soh Chin Ann, menerima sumbangan dari Yayasan Al-Sultan Abdullah berjumlah RM40,000 yang disampaikan Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, disaksikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Stadium Merdeka ini cukup ikonik, penuh sejarah dan kenangan besar untuk negara, termasuk kemenangan pertama Pahang dalam Piala Malaysia pada tahun 1983 yang diraikan seluruh negeri,” titah baginda dengan penuh nostalgia.

Baginda turut mengimbas pelbagai peristiwa penting seperti Kejohanan Piala Merdeka, pengisytiharan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, serta pertembungan bersejarah Mokhtar Dahari menentang Diego Maradona pada 1982.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beramah mesra dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan.

“Sudah tiba masanya Stadium Merdeka dijadikan tarikan pelancongan yang hidup semula, bukan sekadar monumen, tetapi galeri dan muzium yang menghidupkan kembali semangat dan sejarah sukan negara,” titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada semua legenda dan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama Malaysia, sambil menyarankan agar generasi muda mencontohi semangat juang mereka demi mengembalikan kegemilangan sukan negara.