GERGASI sukan global, Adidas melancarkan koleksi jersi ‘home’ terbesar dalam sejarah mereka menjelang Piala Dunia 2026, dengan memperkenalkan rekaan baharu untuk 22 pasukan yang akan beraksi di pentas terbesar dunia itu.

Setiap jersi menampilkan rekaan unik yang diilhamkan daripada sejarah, identiti budaya, landskap serta simbol kebanggaan negara masing-masing, namun dibina menggunakan teknologi prestasi terkini untuk memastikan pemain kekal selesa dalam pelbagai keadaan cuaca di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Menurut Adidas, koleksi ini bukan sekadar kit perlawanan, tetapi simbol penyatuan yang merentasi generasi penyokong – mengangkat warisan sambil menampilkan naratif visual lebih moden dan progresif. Perincian halus pada setiap jersi termasuk penghormatan kepada detik bersejarah, tarikh kejayaan, serta rujukan kepada rekaan ikonik terdahulu yang hanya jelas kelihatan apabila diperhatikan dari jarak dekat.

Jersi ini juga diperkuatkan dengan teknologi fabrik CLIMACOOL+, termasuk sistem pengaliran udara 3D, penyingkiran peluh lebih cepat dan pengudaraan maksimum melalui penempatan panel mesh strategik bagi membantu pemain mengekalkan prestasi optimum walaupun dalam tekanan suhu tinggi.

Selain itu, logo Adidas dan lencana negara menggunakan teknik lentikular baharu yang menghasilkan kesan visual ‘shapeshift’ – menjadikan jersi tampil lebih berani dan moden.

Antara rekaan utama yang mencuri perhatian termasuk jersi Argentina yang menampilkan kesan ‘fade’ tiga tona biru sebagai penghormatan kepada tiga era kejuaraan dunia (1978, 1986 & 2022), jersi Jerman dengan motif berlian yang mengimbau kenangan kejayaan 2014, serta jersi Jepun yang menggambarkan pertemuan cakrawala antara langit dan lautan melalui grafik abstrak biru berlapis.

Bagi Itali pula, elemen tradisi dipadukan dengan gaya kontemporari melalui tulisan ‘Azzurra’ di bahagian tengkuk, manakala jersi Mexico hadir dengan mesej penuh semangat “SOMOS MÉXICO” — simbol perpaduan penyokong yang tidak pernah pudar.

 

“Jersi kebangsaan adalah lambang kebersamaan. Pemain membawa harapan generasi baharu sambil menghormati mereka yang terdahulu. Kami menghormati identiti setiap negara sambil membuka ruang kepada era baharu dalam rekaan jersi bola sepak,” kata Thomas Mace, Naib Presiden Rekaan Adidas Football.

Semua jersi kini boleh didapati di butik Adidas terpilih dan laman rasmi adidas.com bermula 6 November.