Select Page

Mesin gol JDT terus jadi tumpuan media Eropah

Mesin gol JDT terus jadi tumpuan media Eropah

PENYERANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva semakin menjadi tumpuan lensa media antarabangsa selepas dia mencatatkan purata jaringan tertinggi mengatasi Kylian Mbappe, Erling Haaland dan Robert Lewandowski pada tahun 2022.

Selepas mendapat perhatian media Itali Sky Sports Italia, nama Bergson sekali lagi menjadi sebutan di Eropah selepas akhbar harian Perancis, 20 Minutes berkongsi kisah kejayaan penyerang Brazil itu di JDT.

Perkara ini dilaporkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab yang turut menyaksikan Bergson berkongsi kegembiraannya berada di JDT dan apa rahsia utama yang menyebabkan dia beraksi sangat cemerlang.

“Media Perancis, 20 Minutes berkongsi kisah kejayaan penyerang Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim Bergson Da Silva yang semakin menjadi perhatian di Eropah selepas mencatatkan rekod purata jaringan melebihi Kylian Mbappe, Erling Haaland dan Robert Lewandowski pada 2022.

“Penyerang Brazil itu mula mendapat perhatian media Eropah selepas laman Sky Sports Italia meletakkan Bergson sebagai penjaring dengan purata jaringan tertinggi — 1.27 gol untuk setiap perlawanan.

“Bergson yang turut ditemubual berkata dia tidak pernah terfikir untuk mencapai kejayaan ini dan perkara ini adalah bonus buatnya untuk duduk sebaris dengan nama-nama besar namun ianya masih belum cukup buatnya.

Bergson Da Silva 

“Dia turut mengakui bahawa kini dia sedang melalui fasa terbaik dalam dirinya terutamanya apabila mendapat sokongan penuh daripada pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan dia menganggap itulah rahsia kejayaannya.

“Bergson menjaringkan 46 gol dari 36 perlawanan ketika membantu Harimau Selatan meraih empat kejuaraan trofi domestik dan layak ke peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC,” tulis kenyataan itu.

Sejak menyertai JDT pada 2021, Bergson tidak menunggu lama untuk menjadi legenda kelab apabila dia berjaya menawan hati para penyokong Harimau Selatan dengan aksi mantap bukan sahaja di peringkat domestik malah di peringkat tertinggi kelab Asia.

Video Terkini

Loading...