Hull City kini hanya selangkah lagi untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Millwall 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua playoff Liga Kejuaraan di The Den, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad The Tigers mara ke final playoff buat kali ketiga abad ini, sekali gus meneruskan rekod cemerlang mereka dalam aksi penentuan promosi. Pada masa sama, Millwall terus kempunan untuk mencipta kemenangan di laman sendiri dalam sejarah aksi playoff Liga Kejuaraan.

Hull memulakan perlawanan dengan agresif apabila beberapa siri sepakan penjuru hampir menghasilkan gol pembukaan. Charlie Hughes hampir meletakkan pelawat di depan menerusi tandukan, namun percubaannya hanya melewati tiang gol.

Walaupun begitu, Millwall mula menemui rentak selepas itu dan hampir membuka jaringan menerusi Femi Azeez yang melakukan percubaan dari sudut sukar. Pasukan tuan rumah kemudian terus memberi tekanan, namun beberapa peluang terbaik gagal disempurnakan.

Hull turut menerima tamparan apabila Kyle Joseph terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan buku lali selepas diasak keras pemain lawan. Tidak lama kemudian, Thierno Ballo hampir mencuri gol pendahuluan, namun gagal menyentuh hantaran lintang di hadapan pintu gol.

Babak kedua menyaksikan Hull kembali menguasai permainan. Regan Slater mencipta peluang terbaik awal separuh masa apabila menghantar bola kepada Oli McBurnie, tetapi percubaannya berjaya disekat Tristan Crama.

Namun kebuntuan akhirnya berjaya dipecahkan pada pertengahan babak kedua. Mohamed Belloumi menjadi watak utama apabila melakukan gerakan menarik dari sebelah kanan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang menewaskan Anthony Patterson untuk gol pembukaan Hull.

Gol itu nyata memberi tamparan besar kepada Millwall yang sebelum ini cuba bangkit menerusi beberapa pertukaran pemain oleh pengendali mereka, Alex Neil.

Hull terus menggandakan tekanan dan hampir menambah jaringan apabila Liam Millar diberikan ruang luas, namun percubaannya berjaya dihalang Jake Cooper.

Gol kedua akhirnya hadir dengan baki kira-kira 12 minit permainan. Joe Gelhardt mempamerkan penyudah tenang selepas menerima hantaran cantik Belloumi, sekali gus memastikan Hull membawa pulang kemenangan selesa 2-0.

Kekalahan itu memaksa Millwall menangguhkan lagi impian untuk kembali ke saingan liga utama England buat pertama kali sejak tersingkir pada tahun 1990.

Bagi Hull pula, kemenangan tersebut menghidupkan peluang untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas melalui musim yang cukup cemerlang. Mereka kini hanya 90 minit sahaja lagi daripada merealisasikan impian promosi apabila bakal beraksi di final playoff di Wembley.

Sumber Gambar: FB Hull City