TONGGAK Selangor FC, Faisal Halim menegaskan keutamaan pasukan mengatasi kepentingan individu menjelang aksi separuh akhir pertama ACC Shopee Cup 2025/2026 menentang Nam Dinh FC, Rabu ini.

Menurut Faisal, setiap pemain berada dalam keadaan teruja untuk menghadapi perlawanan besar itu, apatah lagi menentang lawan yang disifatkan memiliki kualiti tinggi di pentas separuh akhir.

Beliau menegaskan fokus utamanya bukan untuk menjaringkan gol, sebaliknya memastikan pasukan mencapai kemenangan dalam aksi penting tersebut.

“Perlawanan ini besar dan kami menentang pasukan yang bagus serta berkualiti. Tetapi bagi saya, yang paling penting adalah pasukan.

“Mungkin ada pemain yang menjaringkan gol, tetapi sebagai satu pasukan kita yang menentukan kemenangan,” katanya dalam sidang media petang tadi.

Faisal turut menegaskan beliau tidak kisah siapa yang akan mencatat nama sebagai penjaring, selagi keputusan memihak kepada Selangor.

“Sama ada saya atau rakan sepasukan yang menjaringkan gol, itu tidak penting. Saya hanya mahu membantu pasukan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui kelebihan beraksi di laman sendiri mampu memberi suntikan semangat tambahan buat skuad Gergasi Merah.

Katanya, sokongan penyokong serta faktor bermain di stadium sendiri menjadi kelebihan, namun menegaskan ia tidak menjamin kemenangan tanpa usaha keras di atas padang.

Selangor dijadual berdepan Nam Dinh FC pada Rabu, 5 Mei di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dalam usaha memburu bekalan positif sebelum aksi timbal balik.