Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon menegaskan pasukannya turun tanpa tekanan menjelang aksi separuh akhir ACC Shopee Cup 2025-26 menentang wakil Vietnam, Nam Dinh FC.
Pengendali dari Korea Selatan itu percaya Selangor berada di landasan tepat dengan pendekatan permainan yang lebih agresif dan berorientasikan penguasaan bola, sekali gus bersedia mencabar kekuatan lawan.
Menurut Pan-gon, identiti permainan Selangor kekal berteraskan usaha mengawal tempo perlawanan dan mendominasi aksi di atas padang, walaupun mengakui Nam Dinh merupakan pasukan yang memiliki kualiti tersendiri.
Beliau turut menegaskan faktor beraksi di laman sendiri bukan satu tekanan, sebaliknya menjadi kelebihan buat skuad Gergasi Merah untuk tampil lebih yakin dan menyerang sejak awal permainan.
Dalam masa sama, Pan-gon meletakkan sasaran jelas untuk meraih kemenangan dalam aksi pertama itu bagi membawa bekalan positif ke perlawanan timbal balik.
Katanya, keputusan di laman sendiri amat penting dalam menentukan hala tuju pasukan ke pentas akhir, selain mampu memberi suntikan motivasi kepada pemain serta penyokong.
Selangor akan menerima kunjungan Nam Dinh esok, jam 9 malam di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya bagi aksi separuh akhir pertama.
Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan satu lagi wakil negara, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) akan berdepan kelab Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim esok jam 8 malam.