Select Page

Milner sertai kelab pemain dengan 600 penampilan EPL

Milner sertai kelab pemain dengan 600 penampilan EPL

PEMAIN berpengalaman Liverpool, James Milner menyertai kelab eksklusif apabila  membuat penampilan ke-600 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam aksi menentang Southampton pada Sabtu.

Dua gol daripada Darwin Nunez dan satu oleh Roberto Firmino memberikan Liverpool tiga mata penuh dengan Klopp hanya menyaksikan perlawanan dari grandstand selepas dikenakan penggantungan satu perlawanan oleh FA Inggeris

Milner yang melakukan debut 20 tahun lalu dengan Leeds United masuk sebagai pemain simpanan untuk membantu Liverpool menang 3-1 sebelum liga berhenti rehat bagi memberi laluan kepada Piala Dunia.

Dia muncul pemain keempat dalam sejarah untuk melakukan 600 penampilan selepas Ryan Giggs, Frank Lampard dan Gareth Barry sekaligus mengundang pujian daripada pengendali, Jurgen Klopp.

“Wow dan hanya empat pemain sahaja yang pernah melakukannya. Ianya adalah sesuatu yang menakjubkan bagi pemain profesional seperti dia dibantu dengan rejim latihan yang betul.

“Saya berbangga untuk berada di sampingnya pada kejayaan ini. Dia adalah pemain yang hebat dan antara pemain yang menjadi tulang belakang kejayaan kami selama ini. Kami sedar dia sudah mempunyai 599 penampilan dan tidak mungkin dia tidak diberikan kesempatan bermain kerana dia berhak mendapatkannya dan dia tahu segalanya tentang perlawanan ini,” kata Klopp.

 

Milner sendiri masih sukar untuk menerima apa yang telah berlaku dalam kariernya dan mahu pemain yang melakukan debut hari ini akan mempunyai karier yang panjang seperti dirinya.

“Ianya adalah satu angka yang besar dan sukar untuk dipercayai. Apabila anda melihat pemain seperti Ben Doak yang berusia 17 tahun melakukan debut dan bermain dengan baik, anda berdoa agar dia mampu untuk mempunyai karier yang panjang seperti yang saya miliki,” ujar Milner.

Milner yang menyertai Liverpool dari Manchester City pada 2015 telah melakukan 211 penampilan bersama The Reds dan berjaya menjaringkan 19 gol.

Video Terkini

Loading...