ISTERI kepada bekas penyerang Manchester United dan lagenda England, Wayne Rooney iaitu Coleen Rooney, baru-baru ini membuka rahsia mengenai kehidupan mereka sebagai pasangan suami isteri yang sering menjadi perhatian ramai.

Dalam rancangan realiti popular ITV, I’m A Celebrity…, Coleen mendedahkan sisi peribadi Rooney yang jarang diketahui umum.

Menurutnya, Wayne yang kini menjadi pengurus Plymouth Argyle pernah bergelut dengan tekanan akibat populariti dan sering melakukan kesilapan ketika muda.

“Kalau dia boleh bermain bola sepak tanpa kemasyhuran, saya rasa dia akan lebih gembira dengan kehidupannya.

“Dia ada buat kesilapan sepanjang perjalanan hidupnya, tetapi daripada umur 16 tahun, sudah tentu dia akan lakukannya kerana itu lumrah hidup.

“Kami terpaksa membesar dengan cepat kerana hidup kami sentiasa dalam perhatian umum,” kata Coleen kepada rakan selebriti, penari Oti Mabuse.

Hasil perkahwinan bersama, mereka di kurniakan empat cahaya mata

Walaupun mengakui melalui pelbagai cabaran dalam hubungan mereka, Coleen menegaskan bahawa mereka kini bahagia dan saling melengkapi.

“Kami satu pasangan. Ia memang sukar, tetapi selepas bertahun-tahun itu… kami berjaya,” tambahnya.

Selain menceritakan kesukaran hidup dalam perhatian media, Coleen turut mendedahkan sisi romantik Wayne yang sering menulis puisi untuknya.

“Wayne selalu tulis puisi untuk saya. Kamu tahu pad nota di hotel? Dia akan tulis puisi kecil dan letak dalam beg. Bila sampai rumah, dia akan berikan kepada saya,” katanya lagi.

Menurut Coleen, walaupun mereka bukan pasangan yang gemar menunjukkan kasih sayang secara terbuka, isyarat kecil seperti itu cukup bermakna untuk mengekalkan kemesraan dalam perkahwinan mereka.

Wayne dan Coleen juga menunjukkan dedikasi mereka terhadap anak-anak, terutamanya dalam menyokong kerjaya bola sepak mereka.

Sebelum menyertai rancangan tersebut, Coleen meluangkan masa bersama anak kedua mereka, Klay, yang bermain untuk akademi Manchester United.

Wayne pula dilaporkan hadir menyokong anak sulung mereka, Kai, di akademi yang sama, meskipun sibuk menguruskan pasukan Plymouth di Devon. 

Perjalanan kehidupan pasangan ini membuktikan bahawa walaupun melalui cabaran besar, usaha untuk saling memahami dan menghargai tetap menjadi kunci kebahagiaan mereka.